Jumaat, 4 Februari 2022 | 2:43pm
 Idris berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Solat Peringkat Kebangsaan 2022 di Kompleks Islam Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
Idris berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Solat Peringkat Kebangsaan 2022 di Kompleks Islam Putrajaya hari ini. - Foto Bernama

Jabatan agama Islam negeri siasat ajaran sesat

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengarahkan jabatan agama di setiap negeri mengambil tindakan jika terdapat laporan kegiatan ajaran sesat yang berlaku di negeri berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, berkata sekiranya kegiatan ajaran sesat itu dipaparkan dalam media sosial, JAKIM yang menerima laporan berkenaan akan memaklumkan mengenai perkara itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Apabila kegiatan ajaran sesat itu berlaku di mana-mana negeri, JAKIM akan menghubungi jabatan agama di negeri terbabit untuk mengambil tindakan. Ia sama seperti kes kegiatan 'Mimpi Terakhir', apabila JAKIM meminta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bertindak.

"Begitu juga kes bomoh di Perak, kita minta pihak berkaitan yang bertindak. Jabatan agama di setiap negeri memang bekerjasama baik dengan JAKIM, jadi masing-masing akan bertindak jika memerlukan," katanya selepas melancarkan Bulan Solat Peringkat Kebangsaan 2022, di Auditorium Kompleks Islam Putrajaya, hari ini.

Idris berkata demikian mengenai tindakan yang akan diambil mengenai ajaran 'mimpi' lelaki Pakistan yang disebarkan oleh kumpulan dikenali Gerakan Akhir Zaman (Gaza).

Kumpulan Gaza itu berasal dari Indonesia dan dikatakan sedang membuat persiapan untuk akhir zaman berdasarkan mimpi seorang lelaki dari Pakistan yang dikenali sebagai Muhammad Qasim Abdul Karim yang mendakwa hanya mengikut kehendak Allah dalam mimpinya.

Antara dakwaan mimpi lain yang dialami Muhammad Qasim adalah bertemu Allah, bertemu Rasulullah sebanyak 300 kali namun tidak berani memandang baginda serta diberikan amanah oleh Allah untuk berkongsi mimpinya dengan masyarakat.

Selain itu, lelaki itu mendakwa bermimpi bertemu dajal beberapa kali, selain dapat melihat Yakjuj dan Makjuj ketika dilepaskan di bumi.

Sementara itu, Idris turut menasihatkan umat Islam di negara ini untuk mempelajari ilmu agama dengan guru yang bertauliah supaya tidak terjebak dengan sebaran fahaman sesat.

"Saya lihat terdapat segelintir umat Islam hanya bergantung dan 'berguru' di media sosial semata-mata, seperti yang dinyatakan Imam Ghazali, mengaji tanpa berguru itu tok gurunya adalah syaitan.

"Sebab itu, kita perlu belajar sekurang-kurangnya ilmu asas agama Islam, jika mempunyai asas agama, bila ada fahaman sesat itu, kita tahu perkara itu tidak logik," katanya.

Berita Harian X