Jumaat, 4 Februari 2022 | 12:16pm
Ahamad Fuad Mohd Saleh, 44, hadapi empat tuduhan membunuh dan dua tuduhan salah guna dadah di Mahkamah Bentong hari ini.
Ahamad Fuad Mohd Saleh, 44, hadapi empat tuduhan membunuh dan dua tuduhan salah guna dadah di Mahkamah Bentong hari ini.

Nahas maut 4 beranak: Peniaga ikan hadapi empat tuduhan bunuh

BENTONG: Seorang peniaga ikan yang memandu di bawah pengaruh dadah dan terbabit dalam kemalangan menyebabkan kematian empat beranak di sini bulan lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini, atas tuduhan membunuh kesemua mangsa.

Selain empat tuduhan membunuh empat beranak itu, Ahamad Fuad Mohd Salleh, 44, turut berdepan dua lagi pertuduhan iaitu memiliki dan menggunakan dadah jenis methamphetamine seberat 0.75 gram, namun mengaku tidak bersalah.

Semua enam pertuduhan itu dikemukakan terhadap Ahamad Fuah, yang juga peniaga ikan dalam sangkar, kepada secara berasingan terhadap tertuduh di hadapan Majistret, Shahrul Ekhsan Hasim.

Bagi empat pertuduhan pertama, Ahamad Fuad didakwa membunuh Raihan Mohamad, 43; Dalili Mohd Nazri, 24; Ahmad Muaz Mohd Nazri, 7 dan Ahda Imtinan Mohd Nazri, 5.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan oleh tertuduh di Kilometer (km) 2, Jalan Lebu-Felda Mempaga, di sini jam 2.30 petang pada 28 Januari lalu.

Ahamad Fuad dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Ahamad Fuad bagi empat pertuduhan itu.

Prosiding pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, S Punitha, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Farah Idayu Nusi.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 16 Mac ini untuk sebutan semula kes dan laporan kimia serta bedah siasat.

Sebelum ini, akhbar melaporkan seorang pemandu kereta Nissan Navara didapati positif dadah sebelum merempuh kereta pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire sehingga mengorbankan empat mangsa yang dalam perjalanan mahu menghadiri majlis perkahwinan di Kuala Lumpur di Jalan Lebu ke Mempaga berhampiran susur ke Lebuh Raya Central Spine Road (CSR), di sini.

Berita Harian X