Jumaat, 4 Februari 2022 | 11:46am
Malaysia perlukan reformasi sistem kesihatan merangkumi reformasi pembiayaan kesihatan yang kalis masa depan. - Foto hiasan REUTERS
Malaysia perlukan reformasi sistem kesihatan merangkumi reformasi pembiayaan kesihatan yang kalis masa depan. - Foto hiasan REUTERS

Kertas Putih reformasi sistem kesihatan akan dibentang di Parlimen

PUTRAJAYA: Satu Kertas Putih Kementerian Kesihatan (KKM) membabitkan reformasi sistem kesihatan bagi menangani isu kesihatan termasuk kanser dalam kalangan golongan berpendapatan rendah, akan disediakan untuk dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi.

Selain reformasi sistem kesihatan, Kertas Putih itu juga akan melihat reformasi sistem pembiayaan kesihatan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata Kerajaan melalui KKM sebelum ini memperkenalkan program PeKa B40 bagi menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah.

Ia merangkumi saringan kanser tertentu, bantuan alat perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

"Bagaimanapun, dengan beban penyakit tidak berjangkit (NCD) termasuklah kanser yang terus meningkat, kita memerlukan satu reformasi sistem kesihatan yang kalis masa hadapan dan ia akan turut merangkumi reformasi sistem pembiayaan kesihatan (healthcare financing).

"Sehubungan itu satu Kertas Putih Kementerian Kesihatan Malaysia akan disediakan untuk dibentangkan di Parlimen bagi mendapat sokongan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang," katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Kanser Sedunia, hari ini.

Khairy berkata, KKM melaporkan peningkatan kes kanser sebanyak 11 peratus (115,238 kes) bagi tempoh 2012-2016 berbanding 103,507 kes bagi tempoh 2007-2011.

Kematian akibat kanser pula menjadi sebab utama kematian di hospital-hospital swasta iaitu sebanyak 34.95 peratus dan sebab kematian keempat di hospital KKM pada kadar 11.56 peratus.

Katanya, kanser juga antara sepuluh sebab utama kemasukan ke hospital di kedua-dua hospital KKM (5.17 peratus) dan hospital swasta (5.37 peratus).

"Di Malaysia, tiga jenis kanser yang paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki adalah kanser kolorektal atau usus besar (16.9 peratus), kanser paru-paru (14.8 peratus) dan kanser prostat (8.1 peratus). Dalam kalangan wanita pula adalah kanser payudara (33.9 peratus) dikuti dengan kanser kolorektal (10.7 peratus) dan kanser serviks (6.2 peratus).

"Kadar kelangsungan hidup relatif bagi pesakit-pesakit kanser selepas lima tahun disahkan menghidap kanser adalah 11.0 peratus untuk kanser paru-paru; 51.1 peratus untuk kanser kolorektal; kanser serviks (51.6 peratus), dan kanser payudara (66.8 peratus) serta kanser prostat (73.0 peratus).

"Sebanyak 63.7 peratus daripada keseluruhan kanser dikesan pada tahap lewat iaitu tahap III dan IV. Tahap kanser semasa penyakit ini dikesan menyumbang kepada kadar kelangsungan hidup pesakit-pesakit kanser," katanya.

Selain memberi kesan negatif kepada pesakit, Khairy berkata, kanser turut memberi kesan negatif termasuk psikososial dan ekonomi kepada keluarga serta pembangunan ekonomi negara.

Beliau berkata, secara amnya, faktor-faktor risiko kanser adalah serupa dengan faktor risiko penyakit NCD yang lain manakala pengesanan awal serta rawatan yang cepat dan berkesan memberi peluang yang baik kepada pesakit untuk sembuh.

Sementara itu, menyediakan Kertas Putih berkenaan, Khairy berkata, KKM juga kini sedang meneliti pelaksanaan larangan merokok dan pemilikan sebarang produk merokok kepada generasi akan datang melalui peruntukan berkaitan 'Generational End Game' dalam akta baharu iaitu Akta Kawalan Tembakau dan Merokok yang akan dibentangkan nanti.

Beliau berkata, pelaksanaannya kelak diharap dapat mengurangkan jumlah perokok baharu, sekali gus membolehkan KKM menumpukan perhatian kepada kos beban rawatan pesakit sedia ada.

"Sempena sambutan hari Kanser Sedunia pada tahun ini, saya menyeru kepada semua supaya sentiasa menjadikan amalan cara hidup sihat dan menjaga kesihatan diri sebagai satu daripada agenda utama dalam kehidupan kita seharian.

Berita Harian X