Jumaat, 4 Februari 2022 | 8:37am
Gambar fail. Keadaan MPV yang remuk dirempuh sebuah pacuan empat roda membawa empat sekeluarga dari Gua Musang dalam kemalangan di KM 2 Jalan Lebu ke Mempaga, berhampiran susur ke Lebuh Raya Central Spine Road (CSR). NSTP/IHSAN BOMBA DAN PDRM
Gambar fail. Keadaan MPV yang remuk dirempuh sebuah pacuan empat roda membawa empat sekeluarga dari Gua Musang dalam kemalangan di KM 2 Jalan Lebu ke Mempaga, berhampiran susur ke Lebuh Raya Central Spine Road (CSR). NSTP/IHSAN BOMBA DAN PDRM

Pemandu akibatkan 4 sekeluarga maut dituduh membunuh

BENTONG: Pemandu lelaki didapati positif dadah yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan empat sekeluarga di Kilometer (KM) 2 Jalan Lebu ke Mempaga berhampiran susur ke Lebuh Raya Central Spine Road (CSR), di sini, akan dituduh di Mahkamah Majistret Bentong, hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, suspek berusia 44 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

"Kertas siasatan kes terbabit diambil alih oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Bentong dan suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Bentong jam 9 pagi ini.

"Atas arahan Timbalan Pendakwa Raya, suspek akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh empat individu (dalam kemalangan itu)," katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, media melaporkan suspek direman untuk siasatan lanjut selepas selesai menjalani rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di Temerloh.

Zaiham dipetik berkata, hasil pemeriksaan dilakukan di dalam kenderaan dinaiki suspek yang mempunyai tujuh rekod berkaitan dadah menemui satu tiub straw lutsinar mengandungi syabu.

Dalam kemalangan jam 2.30 petang pada 28 Januari lalu, suri rumah Raihan Mohamad, 43, maut bersama tiga anaknya iaitu Ahda Dalili Mohd Nazri, 14; Ahmad Muaz, 7, dan Ahda Imtinan, 4.

Mangsa dalam perjalanan mahu menghadiri majlis perkahwinan di Kuala Lumpur sebelum kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire yang dinaiki mereka dari Gua Musang itu dirempuh pacuan empat roda Nissan Navara dipandu suspek.

Berita Harian X