Khamis, 3 Februari 2022 | 3:25pm

Operasi hari pertama PICKids berjalan lancar

KUALA LUMPUR: Pemberian vaksin pada hari pertama Program Imunisasi COVID-19 untuk Kanak-kanak (PICKids) berjalan lancar, malah ramai ibu bapa dan kanak-kanak hadir lebih awal daripada waktu janji temu ditetapkan.

Mengikut perancangan, kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun mula menerima suntikan vaksin dos pertama di hospital pakar dan pusat vaksin bersepadu (integrasi) di Lembah Klang mulai jam 12 tengah hari tadi, namun ramai ibu bapa hadir lebih awal bagi memastikan suntikan dibuat pada masa sudah disediakan, selain dapat menenangkan perasaan anak masing-masing.

Pegawai Komunikasi Korporat INTEC Education College, Azlin Haryatie Ibrahim, 39, berkata beliau pada mulanya turut bimbang berikutan pelbagai maklumat diterima berhubung vaksin untuk kanak-kanak sehingga mendengar sendiri penerangan pakar kesihatan mengenai kesan berlaku apabila tidak divaksin.

"Sejak itu, kami tidak lagi ragu-ragu kerana kita sendiri sudah lengkap vaksinasi, mengapa tidak diberikan kepada anak-anak, lagipun vaksin itu bagi melindungi diri dan keluarga.

"Memang anak saya agak gemuruh, tetapi kami menenangkannya dan menjelaskan kesan mungkin dialami selepas suntikan. Anak juga tahu daripada awal mengenai COVID-19 dan vaksinasi. Sekarang kami lega kerana anak sudah divaksin," katanya.

PICKids disasarkan kepada 4.1 juta kanak-kanak untuk menerima vaksin bagi melindungi mereka daripada COVID-19 selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan program itu pada 22 Januari lalu.

Sementara itu, tinjauan BH pada hari pertama operasi pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) mendapati sambutan diterima amat menggalakkan apabila orang ramai mula mengunjungi PPV itu seawal jam 8 pagi.

Pesara tentera, Zulkkiflee Abdul Latiff, 49, berkata selain enam anak yang sudah divaksin sebelum ini, beliau turut bersyukur dua anaknya kini turut menerima dos melalui PICKids.

"Apabila mendapat notifikasi janji temu MySejahtera, saya terus mengesahkan kehadiran kerana mahu semua anak dilindungi.

"Lagi pun vaksin ini untuk kebaikan semua dan apabila ramai sudah mendapatkan suntikan lengkap, lebih ramai masyarakat akan dilindungi," katanya.

Dua anaknya yang menerima vaksin melalui PICKids adalah Muhammad Latiff Iskandar, 10, dan Muhammad Iskandar Zulqarnain, 7.

Bagi Muhammad Latiff, dia sendiri risau untuk menerima suntikan semalam berikutan kakaknya yang terlebih dulu mengambil vaksin mengalami demam.

"Melihat keadaan mereka, saya jadi gemuruh, tetapi saya berharap tidak berlaku apa-apa selepas ini," katanya.

Sementara itu, Pengurus PPV WTCKL, Dr Sharanjit Kaur, berkata ada ibu bapa dan anak yang mendapat janji temu vaksin hadir seawal jam 8 pagi walaupun masa ditetapkan antara jam 12 tengah hari hingga 6 petang.

"Kapasiti untuk PPV ini seramai 200 orang bagi memastikan semua yang hadir dapat mengikut prosedur operasi standard (SOP) kerana di sini juga dibuka untuk kedatangan individu secara datang terus untuk dos penggalak.

"Setakat ini, daripada janji temu MySejahtera, kita terima lebih 200 pendaftaran. Walaupun hari ini cuti umum, namun kehadiran sangat menggalakkan.

"Saya menasihatkan ibu bapa terus memberi galakan dan memujuk anak bersedia divaksinasi. Pastikan mereka bersarapan, cukup tidur dan sihat," katanya.

Selain PPV WTCKL, dua PPV Integrasi yang beroperasi mulai semalam ialah PPV Axiata Arena, Bukit Jalil; PPV Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam dan Hospital Tunku Azizah.

 Antara ibu bapa yang membawa anak mereka menerima suntikan vaksin menerusi PICKIDS di PPV Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini. NSTP /ROHANIS SHUKRI
Antara ibu bapa yang membawa anak mereka menerima suntikan vaksin menerusi PICKIDS di PPV Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini. NSTP /ROHANIS SHUKRI
Berita Harian X