X
Khamis, 3 Februari 2022 | 12:42pm
SOP ibadat umrah akan dimuktamad hari ini atau esok. - Foto hiasan
SOP ibadat umrah akan dimuktamad hari ini atau esok. - Foto hiasan

SOP umrah dimuktamad hari ini atau esok

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu untuk ibadat umrah, hari ini atau esok.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata SOP yang diluluskan itu akan dihebahkan secepat mungkin.

Beliau berkata, draf SOP baharu itu dibentangkan kepada pengurusan tertinggi KKM dalam mesyuarat hari ini atau esok.

"Bila dimuktamad kelak, saya akan maklumkan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

KKM menangguhkan pemergian jemaah umrah berkuat kuasa 8 Januari lalu, berikutan penularan COVID-19 varian Omicron.

Khairy sebelum ini berkata, jemaah akan dibenarkan ke Makkah bermula 15 Februari ini selepas SOP baharu dimuktamad tetapi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mengatakan jemaah boleh ke tanah suci bermula Selasa ini.

Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia menjangka hampir 1,000 jemaah umrah yang terkandas susulan penutupan sementara Januari lalu, dijadual berlepas ke Tanah Suci pada hari pertama pembukaan semula, 8 Februari.

Antara pembaharuan yang dijangka dimasukkan dalam SOP baharu ialah mewajibkan semua jemaah mempunyai insurans kesihatan, bagi keperluan rawatan, pengasingan dan kuarantin bagi jangkitan COVID-19 semasa di Arab Saudi dan pulang ke Malaysia.

SOP itu juga akan memastikan jemaah lengkap pelalian dan mewajibkan dos penggalak, demi keselamatan dan kesejahteraan mereka.

Selain itu, syarikat pengendali umrah bertanggungjawab memaklumkan kepada jemaah mengenai tanggungjawab, tatacara, liabiliti dan arahan sepanjang perjalanan umrah jemaah.

SOP baharu perjalanan umrah itu akan diperhalusi bersama KKM dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan akan dibawa ke mesyuarat kuartet untuk kelulusan.

Jemaah Malaysia dibenarkan berangkat ke tanah suci tidak lama lagi. - Foto hiasan BERNAMA
Jemaah Malaysia dibenarkan berangkat ke tanah suci tidak lama lagi. - Foto hiasan BERNAMA

Berita Harian X