Khamis, 3 Februari 2022 | 12:34pm
Datuk Zuraida Kamaruddin.
Datuk Zuraida Kamaruddin.

'Setakat ini, Zuraida masih kekal bersama BERSATU' - Wan Saiful

MUAR: Semua pihak diminta menanti pengumuman rasmi berkenaan khabar angin mengenai kedudukan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Zuraida Kamaruddin, yang dikatakan akan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata sehingga kini Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu masih kekal bersama parti itu.

"Pelbagai spekulasi mengenai Zuraida, pada pandangan sebagai Ketua Penerangan parti, saya berpendapat isu (spekulasi berkenaan Zuraida keluar Bersatu dan menyertai PBM) dibincang dalam mesyuarat kita (dan isu berkenaan) kekal dalam mesyuarat (tidak dihebahkan).

"Lebih baik kita tunggu pengumuman rasmi daripada parti kalau ada apa-apa, kalau tiada sebaiknya kita pastikan Perikatan Nasional (PN) menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Kampung Parit Haji Ali dekat sini, malam tadi.

Wan Saiful (dua dari kanan) menyerahkan bendera PN kepada wakil BERSATU Muar sebagai simbolik pelancaran jentera PRN Johor di Muar malam tadi.
Wan Saiful (dua dari kanan) menyerahkan bendera PN kepada wakil BERSATU Muar sebagai simbolik pelancaran jentera PRN Johor di Muar malam tadi.

Wan Saiful berkata, spekulasi berkenaan tidak akan melemahkan momentum BERSATU dan PN dalam menghadapi PRN Johor nanti.

Terdahulu, Zuraida sebelum ini dikaitkan menyertai PBM dan dilaporkan ada perbincangan dalam kalangan kepimpinan BERSATU berkaitan isu pemecatan Ahli Parlimen Ampang berkenaan dan individu lain yang didakwa terbabit dengan parti baharu itu.

Seorang ahli MPT BERSATU, Muhammad Faiz Na'aman, dilaporkan berkata isu berkenaan kedudukan Zuraida ada dibangkitkan dalam mesyuarat parti itu pada 25 Januari lalu.

Bagaimanapun Muhammad Faiz berkata, tiada sebarang keputusan dibuat sehingga kini sementara menunggu siasatan lanjut oleh lembaga disiplin parti.

Berita Harian X