Khamis, 3 Februari 2022 | 9:23am
Foto hiasan
Foto hiasan

KPT tanggung sepenuhnya bayaran proses UPUOnline, Unik ID

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini bersetuju untuk menanggung sepenuhnya bayaran proses UPUOnline/Unik ID kepada semua pemohon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Asasi, Matrikulasi dan Diploma atau setaraf bagi sesi akademik 2022/2023.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, dalam satu kenyataan media hari ini, berkata keputusan itu dibuat dengan mengambil kira keadaan semasa pandemik COVID-19 yang masih belum berakhir.

Beliau berkata, permohonan kemasukan akan dibuka mulai esok sehingga 31 Mac ini.

"Sehubungan dengan itu, pemohon boleh melayari portal rasmi upu.mohe.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut dan membuat permohonan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA).

"Kerajaan dan KPT khususnya amat prihatin akan kekangan dan kesan sekiranya pemohon diwajibkan membeli nombor pin Unik ID di Bank Simpanan Nasional untuk membuat permohonan UPUOnline.

"Justeru, KPT berharap agar keputusan ini dapat meringankan beban dan melancarkan urusan pemohon untuk melanjutkan pengajian seterusnya menjamin masa depan yang lebih cerah," katanya.

Keputusan KPT itu kali kedua dilaksanakan selepas ia bersetuju menanggung sepenuhnya bayaran proses UPUOnline/UNIK ID kepada semua pemohon bagi sesi akademik 2021/2022, tahun lalu.

Berita Harian X