Rabu, 2 Februari 2022 | 9:14pm

BERSATU siasat Zuraida terbabit dengan parti lain

KUALA LUMPUR: Lembaga Disiplin BERSATU sedang menyiasat dakwaan 'tindakan meragukan' Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu, Datuk Zuraida Kamaruddin, yang dikatakan terbabit dengan Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Ahli MPT BERSATU, Dr Muhammad Faiz Na'aman, berkata ia susulan isu itu dibangkitkan ketika Mesyuarat MPT parti pada 25 Januari lalu, yang antara lain menyentuh kemungkinan Zuraida perlu dipecat kerana pembabitannya dengan PBM.

"Dalam mesyuarat itu, ada dibangkitkan pembabitan Zuraida dalam pelbagai aktiviti bersama PBM, seperti bantuan banjir dan seumpamanya, dengan bukti gambar yang diperoleh daripada media sosial.

"Persoalan dibangkitkan mengenai kaitan dan betapa rapatnya Zuraida dengan individu daripada PBM, yang kita kenal bahawa itu memang 'orang dia' belaka.

"Tanda tanya juga timbul apabila Zuraida sendiri tidak menyatakan pendirian, sama ada kekal dengan BERSATU di bawah kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, atau nak ke mana.

"Kita minta pengurusan parti dan lembaga disiplin segerakan tindakan lanjut, sama ada nak panggil atau beri surat tunjuk sebab, apatah lagi kerana tiada bantahan oleh ahli MPT dalam mesyuarat itu dan majoriti setuju tindakan Zuraida adalah meragukan," katanya kepada BH.

Pada 12 Disember lalu, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang, dilaporkan mengakui sedia mempertimbangkan pelawaan mengetuai PBM, yang secara rasmi dijenamakan semula daripada Parti Pekerja Sarawak (SWP) pada 27 Oktober tahun lalu.

Presiden PBM ketika ini ialah Mohamad Sukri Yusri, manakala Ahli Parlimen Julau, Larry Sng, sebagai Timbalan Presiden. Jawatan Timbalan Presiden 1 pula disandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya yang juga bekas Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha dan Naib Presiden 2 ialah Wong Judat.

Dua ADUN Perak yang menyertai BERSATU pada tahun lalu turut tersenarai dalam kepemimpinan baharu itu iaitu ADUN Buntong, A Sivasubramaniam yang dilantik sebagai Naib Presiden Kanan 2 dan ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong (Bendahari Agung).

Muhammad Faiz berkata, Zuraida yang dilantik sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi atas tiket BERSATU, juga sudah lebih tiga kali ponteng mesyuarat MPT.

"Zuraida memang sudah lebih tiga kali tidak hadir mesyuarat MPT. Memang boleh diambil tindakan pun, cuma bentuk tindakan ditentukan oleh Lembaga Disiplin," katanya.

Ditanya kehadiran serta reaksi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga sekutu rapat Zuraida, Muhammad Faiz memaklumkan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu hadir dalam mesyuarat yang membincangkan pemecatan Zuraida.

Katanya, Mohamed Azmin ada berhujah panjang selepas isu itu dibangkitkan dan menyifatkan pandangan diutarakan itu sebagai adil.

"Mohamed Azmin ada berikan pendapat, dan sekali lagi tegaskan bahawa beliau setia dengan BERSATU.

"Beliau nyatakan jika dakwaan terhadap Zuraida adalah benar, maka tindakan tegas wajar diambil. Dia pun nampak tidak suka dengan watak Zuraida yang meragukan," katanya.

Berita Harian X