Rabu, 2 Februari 2022 | 7:36pm
Kawasan Teluk Air Tawar-Kuala Muda lokasi penemuan spesies terancam global, burung sekendi sudu muka hitam dilihat berpotensi untuk diwartakan sebagai tapak ramsar dunia yang baharu. - Foto fail
Kawasan Teluk Air Tawar-Kuala Muda lokasi penemuan spesies terancam global, burung sekendi sudu muka hitam dilihat berpotensi untuk diwartakan sebagai tapak ramsar dunia yang baharu. - Foto fail

Kuala Gula, Teluk Air Tawar berpotensi tapak biodiversiti

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menyokong pencalonan mana-mana kawasan berpotensi sebagai tapak berkepentingan biodiversiti antarabangsa oleh kerajaan negeri.

Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata antara kawasan berpotensi itu adalah seperti Kuala Gula-Matang di Perak dan Teluk Air Tawar-Kuala Muda di Pulau Pinang.

"KeTSA akan terus memberi sokongan kepada semua usaha ke arah mengekal, memelihara dan memulihara tanah lembap demi memastikan kelestarian dan kelangsungan khazanah biodiversiti negara.

"Saya menyeru sokongan dan kerjasama kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat awam untuk bersama memainkan peranan dalam melindungi ekosistem tanah lembap di negara kita," katanya dalam perutusan sempena Hari Tanah Lembap Sedunia 2022 bertemakan 'Wetlands Action for People and Nature' yang disambut hari ini.

Takiyuddin berkata, KeTSA turut menyokong usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) tanah lembap melalui penyediaan dana di bawah Tabung Amanah Konservasi Sumber Asli Nasional (NCTF).

Antara fokus pembiayaan dana terbabit adalah untuk mengurus, memantau dan melindungi kawasan berkepentingan biodiversiti dan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).

"KeTSA akan meneruskan pelaksanaan Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesis Sesuai di Pesisiran Pantai Negara yang meliputi aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan hutan paya bakau serta peningkatan kesedaran masyarakat.

"Di samping itu, pada tahun ini KeTSA akan melaksanakan pemasangan 'coastal block and eco-friendly raft pile' bagi mengurangkan hakisan pantai di Tapak Ramsar Tanjung Piai, Johor," katanya.

Mengulas lanjut mengenai tema Hari Tanah Lembap Sedunia 2022, beliau berkata ia mengetengahkan kepentingan pelaksanaan tindakan bagi meningkatkan usaha pemuliharaan dan penggunaan tanah lembap secara mampan supaya kemandirian ekosistem tanah lembap dapat dikekalkan untuk generasi akan datang.

"Hingga kini, ada tujuh kawasan diiktiraf sebagai Tapak Ramsar di Malaysia iaitu Tasek Bera, Pahang; Tanjung Piai, Pulau Kukup dan Sungai Pulai, Johor; Kuching Wetlands National Park, Sarawak serta Lower Kinabatangan-Segama Wetlands dan Kota Kinabalu Wetlands, Sabah.

"Tapak ini dilindungi melalui pewartaan oleh kerajaan negeri sama ada di bawah undang-undang perhutanan, taman negeri, hutan simpanan kekal atau kawasan perlindungan tanah lembap," katanya.

Berita Harian X