Rabu, 2 Februari 2022 | 2:40pm
Pakar virologi dari UM, Prof Dr Sazaly Abu Bakar. - Foto NSTP
Pakar virologi dari UM, Prof Dr Sazaly Abu Bakar. - Foto NSTP

Aktifkan lebih banyak penjujukan genom

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) disaran mengaktifkan lebih banyak penjujukan genom bagi mengenal pasti kemungkinan wujudnya varian baharu yang menyumbang terhadap penularan dan peningkatan kes.

Pakar virologi dari Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sazaly Abu Bakar, berkata langkah sebahagian besar komuniti memilih membuat ujian saringan kendiri menyebabkan sampel bagi penjujukan genom semakin berkurangan.

"Di makmal saya sendiri, penerimaan terhadap sampel untuk melakukan penjujukan genom semakin perlahan kerana ramai yang membuat ujian kendiri.

"Justeru, KKM perlu meningkatkan semula ujian melalui Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) untuk membolehkan lebih banyak penjujukan genom dilakukan.

"Jika varian yang ada ini Omicron, saya rasa tidak perlu risau kerana majoritinya iaitu lebih 90 peratus adalah kategori 1 dan 2, namun kita kena pastikan tiada varian baharu melalui penjujukan genom," katanya kepada BH di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kes COVID-19 yang menunjukkan pola peningkatan kepada 5,566 kes semalam.

Pada akhir Disember lalu, jumlah kes harian COVID-19 dilaporkan kembali merekodkan penurunan apabila berada bawah angka 3,000 sebelum meningkat semula pada 21 Januari melepasi angka 4,000.

Bagaimanapun, angka harian kes COVID-19 di negara ini kembali melepasi 5,000 pada 27 Januari lalu dengan 5,439 kes baharu dilaporkan.

Kali terakhir negara merekodkan kes melebihi 5,000 adalah pada 1 Disember 2021 dengan 5,439 kes.

KKM memulakan penjujukan genom bagi varian COVID-19 secara konsortium dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), universiti dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sejak Julai lalu.

Sazaly berkata, pihaknya tidak melihat pola peningkatan kes COVID-19 menunjukkan kebimbangan selagi peratusan pesakit kategori tiga, empat dan lima kekal rendah.

Malah, beliau melihat peningkatan kes COVID-19 kali ini tidak memerlukan tindakan lebih ketat daripada kerajaan seperti sebelum ini, termasuk sekatan.

"Kadar vaksinasi tinggi negara kini banyak membantu dalam membendung jangkitan serius termasuk Omicron.

"Pemberian vaksin amat membantu yang mana banyak jangkitan dikesan adalah gejala ringan. Walaupun kes lebih 5,000, golongan memerlukan rawatan bagi kategori serius tiada peningkatan.

"Indikatornya adalah pesakit yang menerima rawatan, selagi ia masih rendah maka tidak perlu risau kecuali jika ada varian baharu.

"Jangkitan akibat varian Omicron ini mungkin membimbangkan bagi negara yang kadar vaksinasinya adalah rendah," katanya.

Berita Harian X