Selasa, 1 Februari 2022 | 3:41pm
Foto hiasan. - NSTP/ARKIB
Foto hiasan. - NSTP/ARKIB

5,566 kes baharu COVID-19

PUTRAJAYA: Sebanyak 5,566 kes baharu COVID-19 dilaporkan setakat jam 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata perkembangan itu menjadikan sehingga kini terdapat 2,876,324 individu di negara ini sudah dijangkiti virus berkenaan.

Dalam satu kenyataan, beliau memaklumkan, daripada jumlah kes yang dikesan hari ini, sejumlah 5,339 adalah penularan tempatan dengan 237 kes mendapat jangkitan di luar negara.

"Secara keseluruhannya, daripada jumlah kes yang dilaporkan hari ini, sejumlah 99.1 peratus atau 5,515 adalah kes dalam kategori satu dan dua, iaitu tidak bergejala dan bergejala ringan, manakala 0.9 peratus bersamaan 51 kes adalah kategori tiga hingga lima, iaitu mempunyai radang paru-paru, memerlukan alat bantuan pernafasan dan kritikal," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah kes aktif di negara ini, sehingga kini terdapat 113 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), membabitkan 90 kes disahkan COVID-19 serta 23 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

"Bagi kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan dalam ICU, sehingga kini terdapat sejumlah 59 kes, iaitu 40 disahkan COVID-19 serta 19 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan," katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan, KKM mengesan tujuh kluster baharu di negara ini yang menjadikan sehingga kini terdapat 318 kluster masih aktif.

Bagi kes sembuh pula, katanya, sehingga jam 12 tengah hari ini, terdapat 3,187 kes pulih daripada jangkitan COVID-19, menjadikan sehingga kini terdapat 2,787,190 kes pulih sepenuhnya.

Berita Harian X