Isnin, 31 Januari 2022 | 11:00pm
Noh Omar (dua dari kiri) melawat gerai pameran ketika majlis pelancaran Aplikasi Mudah Alih dan Laman Sesawang Hari Usahawan Negara (HUN) 2022 di World Trade Centre, Kuala Lumpur. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Noh Omar (dua dari kiri) melawat gerai pameran ketika majlis pelancaran Aplikasi Mudah Alih dan Laman Sesawang Hari Usahawan Negara (HUN) 2022 di World Trade Centre, Kuala Lumpur. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Mudahkan pinjaman usahawan dilahirkan agensi MEDAC

KUALA LUMPUR: Agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) diminta mempermudahkan proses permohonan pinjaman oleh usahawan yang telah mendapat pengiktirafan dan dibentuk oleh agensi lain di bawah kementerian itu.

Menterinya, Datuk Seri Noh Omar, menegaskan usahawan yang telah berjaya itu tidak sepatutnya dilayan seperti usahawan yang baru bermula sehingga terpaksa mengemukakan pelbagai dokumen yang merumitkan proses mendapat pembiayaan.

Perkara sedemikian adalah janggal kerana ia seperti tidak mengiktiraf usahawan yang dibentuk oleh agensi di bawah MEDAC. Kalau usahawan dari Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan disahkan sebagai berjaya, dia nak pembiayaan lebih RM30,000, AIM tak dapat bagi lebih daripada itu dan dia kena mohon dari TEKUN Nasional.

TEKUN pula apabila tengok sokongan AIM, tak perlu minta dokumen macam-macam, begitu juga apabila usahawan TEKUN nak pinjam sampai sejuta atau dua juta, TEKUN kena buat pengesahan dan syor kepada PUNB pula dan PUNB kena permudahkan.

"Begitu juga yang dilatih oleh Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), sijil itu laku dan sah. Agensi bawah MEDAC bila tengok pemohon ada sijil INSKENS, berilah pinjaman. Jangan tanya banyak kerana mereka ini dilatih oleh kita," katanya berucap pada pelancaran Hari Usahawan Negara (HUN) 2022 anjuran Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM) yang turut dihadiri presidennya, Datuk Seri Abu Hasan Mohd Nor, di sini malam ini.

Noh Omar (tiga dari kanan) ketika majlis pelancaran Aplikasi Mudah Alih dan Laman Sesawang Hari Usahawan Negara (HUN) 2022 di World Trade Centre, Kuala Lumpur. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Noh Omar (tiga dari kanan) ketika majlis pelancaran Aplikasi Mudah Alih dan Laman Sesawang Hari Usahawan Negara (HUN) 2022 di World Trade Centre, Kuala Lumpur. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Sementara itu, Noh turut menzahirkan kekagumannya terhadap usahawan khususnya generasi muda yang mampu berkembang dengan modal sendiri tanpa sebarang bantuan pembiayaan agensi kerajaan.

Sekiranya usahawan berkenaan memerlukan suntikan modal melalui pinjaman, proses permohonan oleh mereka juga mesti dipermudahkan.

"Ramai yang bermula dengan modal sendiri, dia naik dari bawah, berniaga dari rumah dan akhirnya boleh buka kilang.

"Kalau usahawan seperti ini sudah membuktikan tanpa pinjaman pun mereka mampu untuk maju, apa salahnya agensi di bawah MEDAC beri bantuan untuk pastikan mereka terus maju dan yakinlah bahawa mereka adalah usahawan yang tulen," katanya.

Berita Harian X