Isnin, 31 Januari 2022 | 7:25pm

RTM akan siar Piala Dunia 2022

KUALA LUMPUR: Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengesahkan akan mengadakan rundingan untuk mendapatkan hak penyiaran perlawanan bola sepak Piala Dunia 2022 yang diadakan di Qatar, November depan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata RTM akan mengadakan perbincangan dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menerusi ejen yang dilantik badan itu.

Jelasnya, hasil rundingan itu dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat, dan memberi jaminan RTM akan menjadi antara pihak yang menyiarkan Piala Dunia 2022.

"Secara prinsip kita sudah bersetuju untuk RTM membuat rundingan dengan ejen yang dilantik oleh FIFA bagi siaran Piala Dunia 2022. Insya-Allah kita perlu sedikit masa lagi untuk memuktamadkannya, tetapi sudah pasti RTM akan menjadi satu daripada saluran yang akan menyiarkan Piala Dunia 2022.

"Hasil rundingan akan diketahui dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Kerjasama Tajaan Antara Jakel dan RTM di Wisma Jakel di sini, hari ini.

RTM mula menyiarkan perlawanan Piala Dunia secara percuma kepada jutaan peminat bola sepak di Malaysia sejak 1974 (kecuali pada 1986), dan tradisi selama hampir 50 tahun itu akan diteruskan tahun ini.

Pada edisi Piala Dunia 2018, RTM mendapat hak penyiaran bagi 41 daripada 64 perlawan bola sepak antarabangsa itu dengan 27 daripadanya ditayang secara langsung, membabitkan kos keseluruhan sekitar RM30 juta.

Annuar (dua dari kanan) berbual dengan pembaca berita yang memperagakan pakaian Tajaan Jakel Malaysia di Majlis Kerjasama Tajaan Kumpulan Syarikat Jakel dan RTM di Wisma JAKEL Kuala Lumpur. Turut sama Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Feroz Mohamed Jakel (kanan) dan Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Che Roslan Che Daud (tiga dari kanan). - Foto NSTP/Fariz Iswadi Ismail

Berita Harian X