Isnin, 31 Januari 2022 | 10:21am
 Foto NSTP/Danial Saad (hiasan)
Foto NSTP/Danial Saad (hiasan)

MBPP perketat pemantauan, penguatkuasaan lalu lintas

GEORGETOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengetatkan kawalan pemantauan dan penguatkuasaan lalu lintas sepanjang cuti umum Tahun Baharu Cina dan cuti persekolahan sehingga 4 Februari ini.

Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam MBPP dalam kenyataan berkata, pihaknya menjangkakan kehadiran ramai pelancong di bahagian pulau termasuk sekitar Georgetown, Tanjung Bungah, Tanjung Tokong, Batu Feringghi, Air Itam, Bayan Lepas dan Balik Pulau.

Katanya, sekitar bahagian pulau dijangka menghadapi kesesakan lalu lintas selain kuantiti sampah yang dijangka meningkat susulan kegiatan domestik dan pelancongan.

"Pemantauan dan penguatkuasaan antiliter akan dijalankan terutama di semua kawasan pelancongan dan kawasan sasaran.

"Tugasan pemantauan akan dilakukan secara rondaan pengawal dan menerusi sistem kamera litar tertutup (CCTV) di Pusat Intelligent Operation Centre (IOC) MBPP," menurut kenyataan itu.

MBPP berkata bagi melancarkan kawalan di kawasan seliaan, cuti rehat sepanjang tempoh berkenaan bagi ketua jabatan, pegawai dan staf jabatan yang terbabit dengan perkhidmatan perlu dibekukan.

Katanya, jabatan yang terbabit dengan pembekuan cuti rehat bagi jabatan perkhidmatan perlu dan petugas barisan hadapan termasuk Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Perkhidmatan Perbandaran, Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Perlesenan, Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Jabatan Lanskap yang terdiri daripada 2,342 kakitangan atau 77.58 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja MBPP.

"Petugas Pasukan Skuad Pantas MBPP juga bersiap sedia menghadapi sebarang bencana yang mungkin berlaku seperti pokok tumbang dan sebagainya.

"Orang awam dinasihati supaya merancang perjalanan, memandu secara berhemah, tidak meletakkan atau memberhentikan kenderaan di kawasan larangan dan mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Sebarang aduan boleh disalur kepada talian MBPP 04-263 7000, sistem e-aduan MBPP atau aplikasi WhatsApp Aduan MBPP (016-200 4082) ," katanya lagi.

Polis Pulau Pinang sebelum ini menjangka penambahan kenderaan sebanyak 50,000 sehari di negeri ini.

Berita Harian X