Ahad, 30 Januari 2022 | 8:30pm
Ariffin Deraman (tiga, kanan) meraikan penumpang pesawat AirAsia penerbangan terus dari Kota Kinabalu-Kuala Terengganu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu hari ini. - foto BERNAMA
Ariffin Deraman (tiga, kanan) meraikan penumpang pesawat AirAsia penerbangan terus dari Kota Kinabalu-Kuala Terengganu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu hari ini. - foto BERNAMA

Penerbangan terus KT-KK rancakkan pelancongan

KUALA NERUS: Sektor pelancongan Terengganu dan Sabah dijangka bertambah rancak susulan pelaksanaan penerbangan terus dari Kuala Terengganu ke Kota Kinabalu melalui kerjasama kerajaan negeri dengan AirAsia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu Ariffin Deraman, berkata laluan penerbangan itu diharap dapat membantu Terengganu capai sasaran ketibaan tiga juta pelancong tahun ini.

Buat permulaan, waktu dan masa penerbangan pesawat AirAsia bagi laluan Kuala Terengganu-Kota Kinabalu dijadualkan sekali seminggu iaitu pada setiap Ahad.

"Kerajaan negeri juga berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes untuk AirAsia menambah laluan baharu dari Kuala Terengganu ke Kuching di Sarawak, Pulau Pinang dan mengembalikan semula penerbangan dari Senai, Johor," katanya selepas menyambut penerbangan sulung AK5310 yang membawa 59 penumpang hari ini.

Pesawat itu berlepas dari Kota Kinabalu pada 3.15 petang dan tiba di Kuala Terengganu pada 5.20 petang.

Ketua Komersial AirAsia, Nur Liyana Mahizzan pula berkata syarikat itu memilih Terengganu kerana mendapat permintaan tinggi dan akan mempertimbang permohonan negeri untuk menambah laluan ke destinasi lain.

"Ketika ini, AirAsia menawarkan tambang promosi sehala untuk tempahan daripada serendah RM128 sahaja dari sekarang hingga 14 Februari depan untuk tempoh perjalanan dari 13 Februari hingga 30 September tahun ini.

"Selain laluan Kota Kinabalu-Kuala Terengganu, AirAsia telah melancarkan laluan baharu Kuching-Langkawi, Johor Bahru-Bintulu dan Pulau Pinang-Sibu pada awal bulan ini untuk memacu pelancongan domestik," katanya.

– BERNAMA

Berita Harian X