Ahad, 30 Januari 2022 | 8:14pm
Maszlee Malik. - Foto fail NSTP
Maszlee Malik. - Foto fail NSTP

SPRM nafi dakwaan Ahli Parlimen Simpang Renggam

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan tuduhan pegawainya melakukan intimidasi ketika menjalankan siasatan seperti yang didakwa Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik, semalam.

Suruhanjaya itu dalam kenyataan hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bekas Menteri Pendidikan itu.

"SPRM menerima dua aduan terhadap Ahli Parlimen berkenaan dan sedang menjalankan siasatan berhubung perkara itu. SPRM ingin menegaskan bahawa proses siasatan perlu dijalankan setelah terdapat aduan rasmi berhubung sesuatu kesalahan rasuah dan penyelewengan sebagaimana peruntukan undang-undang," katanya.

Setiap siasatan yang dijalankan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan menemu bual beberapa saksi yang terbabit.

SPRM tidak akan tunduk kepada tekanan daripada mana-mana pihak untuk mengalihkan isu rasuah dan penyelewengan dengan pelbagai tekanan yang sengaja dibuat.

Siasatan yang dijalankan akan berteraskan prinsip ketelusan, keadilan dan profesionalisme serta berlandaskan undang-undang yang diperuntukkan, kata kenyataan itu.

Justeru SPRM berharap pihak yang terbabit memberikan kerjasama penuh dan berhenti mensensasikan proses siasatan ini.

Bagaimanapun pihak SPRM tidak menyatakan sebarang butiran berkenaan kes yang disiasat membabitkan Maszlee.

Semalam, Mazlee dipetik sebagai berkata siasatan SPRM yang dijalankan ke atasnya serta beberapa pegawainya di Parlimen Simpang Renggam dilihat sebagai satu bentuk intimidasi.

Kata beliau, pihaknya difahamkan SPRM turut menyiasat beberapa pegawai di Kementerian Pendidikan yang didakwanya sebagai usaha untuk mencari kesalahan terhadap dirinya.

Belliau berkata demikian kepada media selepas hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, semalam untuk dirakam keterangan oleh pihak polis.

Ia berhubung kehadirannya menyaksikan penyerahan memorandum oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di bangunan Parlimen, di sini 20 Januari lalu.

Berita Harian X