Ahad, 30 Januari 2022 | 5:13pm
 Gajah liar yang ditangkap di Kampung Padang Tapong, Jerteh, semalam dijangka dipindahkan dengan bantuan gajah denak yang dibawa dari Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Hulu Terengganu, Rabu ini. - Foto hiasan BERNAMA
Gajah liar yang ditangkap di Kampung Padang Tapong, Jerteh, semalam dijangka dipindahkan dengan bantuan gajah denak yang dibawa dari Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Hulu Terengganu, Rabu ini. - Foto hiasan BERNAMA

PERHILITAN tangkap gajah liar masuk kampung

JERTEH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu menangkap seekor gajah jantan liar di Kampung Padang Tapong, di sini semalam.

Pengarah PERHILITAN Terengganu, Loo Kean Seong, berkata tangkapan itu dibuat selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung gajah liar yang dilihat berkeliaran di sekitar kampung berkenaan sebelum ini.

"Kakitangan PERHILITAN Terengganu menangkap gajah itu pada jam 2.15 petang selepas tidak lama usaha mengesannya dilakukan.

"Gajah jantan dianggarkan berusia 15 tahun dengan berat kira-kira dua tan itu dipercayai datang dari Hutan Simpan Pelagat yang terletak berdekatan kampung itu," katanya.

Gajah itu dijangka dipindahkan dengan bantuan gajah denak yang dibawa dari Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Hulu Terengganu, Rabu ini.

Sementara itu seorang penduduk Mohd Zulkifli Ismail, 61, berkata dia berasa lega selepas gajah itu ditangkap.

"Banyak tanaman pisang, nanas, nangka dan getah di kebun saya yang terletak kira-kira 200 meter dari jalan raya di kampung ini dimakan dan dirosakkan haiwan itu sejak tiga hari lalu.

"Disebabkan ada gajah berkeliaran, saya juga bimbang untuk ke kebun kerana khuatir ia masih bersembunyi di dalam semak berhampiran," katanya menambah beberapa kebun penduduk lain turut dimusnahkan gajah liar termasuk kawasan tanaman kelapa sawit.

Sebelum ini gajah berkenaan juga didapati pernah menghampiri kawasan perumahan, Taman Saujana yang terletak berdekatan kampung itu. – BERNAMA

Berita Harian X