Ahad, 30 Januari 2022 | 5:06pm
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa (tengah) bersama sebahagian daripada peserta program Sembang Santai Keluarga Malaysia di Masjid Tanah. - Foto
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa (tengah) bersama sebahagian daripada peserta program Sembang Santai Keluarga Malaysia di Masjid Tanah. - Foto

RIUH-Keluarga Malaysia tingkatkan industri seni dan digital

MASJID TANAH: Ratusan penggiat seni dan digital akan dihimpunkan dalam program RIUH-Keluarga Malaysia bulan hadapan, bagi meningkatkan sumbangan industri itu kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa menjelaskan, penggiat dalam industri terbabit bukan setakat menyertai pameran, malah turut mengadakan sesi penerangan kepada orang ramai mengenai industri berkenaan.

Beliau berkata, sasaran utama program itu ialah menarik lebih ramai belia, terutama yang meminati seni lakonan, tarian dan lukisan bagi memahami mengenai prospek cerah untuk menjana ekonomi dalam bidang seni dan digital.

"Seluruh anggota masyarakat harus dibabitkan dalam pendigitalan, terutama usahawan mikro, sederhana dan makro bagi memajukan ekonomi digital.

"Setakat ini sumbangan industri seni dan digital kepada KDNK hanya antara lima hingga enam peratus dan ia harus ditingkatkan kerana ada ruang terlalu luas untuk tujuan itu," katanya ketika ditemui selepas menghadiri program Sembang Santai Keluarga Malaysia di sini, hari ini.

Seramai 30 usahawan dalam bidang seni dan digital menyertai sesi dialog dengan Annuar dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDEC), Mahadzir Aziz dan CEO MyCreative Ventures, Junady Nawawi mengenai industri berkenaan.

Annuar berkata, konsep RIUH-Keluarga Malaysia adalah berdasarkan konsep hiburan Jom Heboh anjuran TV3 sebelum ini tetapi kali ini ia lebih fokus kepada usaha mengembangkan industri seni dan digital.

"Cuma kali ini kita lebih fokus dengan memberi peluang kepada anak muda untuk menampilkan kejayaan yang dicapai dalam industri seni dan digital," katanya.

Beliau berkata, RIUH-Keluarga Malaysia dianjurkan dari satu negeri ke negeri lain dengan fokus utama adalah untuk memberi penjelasan kepada anggota komuniti mengenai peluang pelaburan yang menguntungkan dalam industri berkenaan.

"Contohnya, Minggu Digital Ekonomi yang diadakan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini berjaya menghasilkan nilai pelaburan RM1.1 bilion dalam industri berkenaan," katanya.

Berita Harian X