Ahad, 30 Januari 2022 | 4:40pm
Pelajar Fakulti Perakaunan UiTM, Nor Anis Syafika Zumi Azlan mendapat markah tertinggi di Malaysia dan dunia dalam pengurusan maklumat pada peperiksaan ACCA FIA. - Foto UiTM
Pelajar Fakulti Perakaunan UiTM, Nor Anis Syafika Zumi Azlan mendapat markah tertinggi di Malaysia dan dunia dalam pengurusan maklumat pada peperiksaan ACCA FIA. - Foto UiTM

Pelajar UiTM peroleh markah tertinggi ACCA FIA

SHAH ALAM: Pelajar Fakulti Perakaunan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Nor Anis Syafika Zumi Azlan memperoleh markah tertinggi di Malaysia dan dunia dalam Pengurusan Maklumat pada peperiksaan ACCA Foundation in Accountancy (FIA) Disember lalu.

Pelajar berusia 19 tahun itu memaklumkan bahawa faktor kejayaannya adalah menerusi komunikasi yang baik dengan pensyarah serta memahami prinsip subjek terbabit.

"Pensyarah kami sentiasa ada apabila pelajar ada persoalan yang ingin ditanyakan. Mereka juga memudahkan pembelajaran kami dengan memberikan contoh sebenar yang sekali gus membantu kami memahami topik dengan lebih baik," katanya ketika dihubungi hari ini.

Selain itu, bagi membantunya mengurus pembelajaran dalam talian dengan lebih baik, Nor Anis Syafika menukar tempat belajarnya menjadi persekitaran seperti 'bilik darjah' selain memastikan mendapat tidur yang cukup setiap hari.

"Ia sekali gus akan meningkatkan keyakinan serta dapat memotivasi diri saya untuk terus fokus," katanya.

Nor Anis Syafika berkata, beliau memang meletak sasaran untuk mendapatkan markah tertinggi dan juga anugerah Prize Winner daripada Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA).

"Saya memang sasar untuk dapatkan markah yang tinggi dan juga anugerah Prize Winner ACCA FIA kerana menurut pensyarah dan pelajar senior, penguasaan silibus di peringkat awal adalah amat penting untuk memahami silibus yang lebih mencabar di peringkat ACCA kelak.

"Sasaran saya selepas ini adalah untuk mendapatkan anugerah Prizewinner sekali lagi bagi peperiksaan yang seterusnya.

"Pada masa yang sama, saya juga ingin mengasah kemahiran yang berkaitan dengan perakaunan dan 'soft skills' seperti kemahiran menggunakan Microsoft Excel serta kemahiran berkomunikasi," katanya.

Dalam pada itu, anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu mahu menceburi bidang perakaunan forensik pada masa hadapan dan yakin dengan kelayakan profesional perakaunan akan mendekatkan dirinya kepada impiannya.

Sementara itu, menerusi satu kenyataan, Naib Canselor UiTM, Profesor Dr Roziah Mohd Janor berbangga dengan pencapaian Nor Anis Syafika dan berharap pelajar UiTM sentiasa berusaha dan memberikan yang terbaik dalam semua usaha mereka.

Beliau juga menyatakan bahawa untuk menjadi universiti berprestasi tinggi, UiTM akan menyediakan dan melengkapkan persekitaran yang membina bagi pelajar dan pensyarah.

"Ia untuk memastikan pelajar dan pensyarah universiti ini berfikiran global serta mampu bersaing di peringkat antarabangsa dalam menjadikan UiTM terkenal di peringkat global," katanya.

Berita Harian X