Ahad, 30 Januari 2022 | 3:26pm

JKMPay akan dikaji semula

KUALA LUMPUR: Keberkesanan Projek Rintis Pembayaran Bantuan Bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Secara Tanpa Tunai atau JKMPay akan dikaji semula selepas setahun dilaksanakan.

Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, berkata ia bertujuan menambah baik sistem sedia ada selain dapat membabitkan golongan sasaran dengan ekonomi digital ketika ini.

Sebelum ini, katanya, kajian dilakukan selepas enam bulan JKMPay dilaksanakan dan 80 peratus penerima mendapati ia berkesan.

"Bagaimanapun, kita akan teruskan kajian dalam kalangan penerima bagi melihat kekangan dihadapi.

"Kita mahu pastikan golongan sasar dapat berbelanja dengan tepat demi membantu kelangsungan hidup mereka.

"Perbincangan akan dibuat dengan kerajaan, pemegang taruh dan Majlis Orang Kurang Upaya (OKU) sebelum JKMPay diperluaskan," katanya selepas menyantuni OKU Persatuan Kebajikan Chen Ai sempena sambutan Tahun Baharu Cina di sini, hari ini.

JKMPay dengan kerjasama strategik bersama Bank Islam Malaysia Berhad mula dilaksanakan pada 1 Februari 2021.

Melalui JKMPay, individu menerima 50 peratus daripada jumlah kadar bantuan yang diluluskan dan dikreditkan ke dalam akaun Bank Islam manakala baki 50 peratus akan dimasukkan ke dalam Kad Cashless JKMPay.

Bagaimanapun, kaedah itu mendapat bantahan pihak tertentu dan mahukan ia dikaji semula.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun menyantuni penghuni pusat jagaan OKU sempena Tahun Baharu Cina di Persatuan Kebajikan Chen Ai OKU, Petaling Jaya. - NSTP/Rohanis Shukri
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun menyantuni penghuni pusat jagaan OKU sempena Tahun Baharu Cina di Persatuan Kebajikan Chen Ai OKU, Petaling Jaya. - NSTP/Rohanis Shukri
Berita Harian X