Ahad, 30 Januari 2022 | 2:29pm

Kerjasama PAS, BERSATU ulangi episod PRN Melaka

JOHOR BAHRU: Tindakan PAS memilih bersama BERSATU menerusi Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, mengulangi episod seperti PRN Melaka, November lalu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata tindakan PAS bekerjasama dengan BERSATU pada PRN Johor juga bukan satu kejutan terhadap parti itu.

"Kelihatannya tindakan PAS terus bersama BERSATU dan PN, seolah-olah mahu mengulangi apa yang berlaku di PRN Melaka.

"Dalam dinamik politik semasa, UMNO dan BN bersedia menghadapi apa juga kemungkinan termasuk berdepan PN semula.

"Ia tidak bermakna UMNO dan BN terlalu yakin, tetapi hasil PRN Melaka sudah terbukti, namun kita akan tetap bersedia dengan strategi lebih berkesan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas bertemu Jawatankuasa Tertinggi Parti Makkal Sakti Malaysia dan ketua bahagian parti itu, di sini, hari ini.

Semalam, PAS dan BERSATU mengumumkan bertanding pada PRN Johor menggunakan logo PN.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilaporkan berkata perkara itu dipersetujui hasil muzakarah antara kedua-dua parti berkenaan.

Pada PRN Melaka, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala PN memenangi dua kerusi menerusi calon BERSATU dengan PAS yang bertanding di lapan DUN, gagal memenangi sebarang kerusi.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) tetap bersedia menghadapi cabaran BERSATU dan PAS serta Pakatan Harapan (PH) pada PRN nanti.

"Bukan sesuatu yang memeranjatkan apabila PAS umum bekerjasama dengan BERSATU. Ia sudah kita jangkakan.

"UMNO dan BN sebenarnya belum membuat keputusan muktamad (kerjasama dengan PAS), namun apabila parti itu kelihatan sudah memuktamadkan keputusan apabila terus bersama BERSATU, kita akur.

"PAS yang memulakan langkah, bukan UMNO atau BN yang memuktamadkan apa-apa," katanya.

Ahmad (tengah) beramah mesra bersama Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia, Datuk Seri R S Thanenthiran (dua, kiri) selepas berakhir mesyuarat khas bersama jawatankuasa tertinggi parti itu di Johor Bahru. FOTO NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Ahmad (tengah) beramah mesra bersama Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia, Datuk Seri R S Thanenthiran (dua, kiri) selepas berakhir mesyuarat khas bersama jawatankuasa tertinggi parti itu di Johor Bahru. FOTO NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Berita Harian X