Ahad, 30 Januari 2022 | 11:57am
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP

KPDNHEP tetap pantau, periksa premis di luar bandar

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak mengabaikan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan di kawasan luar bandar meskipun jumlah masyarakat dan bilangan premis di kawasan itu tidak tinggi berbanding di bandar.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam, berkata pihaknya sentiasa melakukan penguatkuasaan dan pemantauan berkaitan bekalan keperluan harian dan harga setiap hari di seluruh negara membabitkan pelbagai jenis premis seperti kedai runcit, pasar pagi, pasar awam, pasar raya dan kedai serbaneka.

Katanya, KPDNHEP menyedari kawasan luar bandar juga perlu diberikan keutamaan dalam melakukan pemantauan terutamanya bagi memastikan mereka dapat menikmati bekalan keperluan asas seperti gula, tepung gandum, minyak masak, Gas Petroleum Cecair (LPG) serta keperluan lain dijual pada harga yang munasabah dan mudah diperoleh.

"Jarak perjalanan yang jauh dengan keadaan geografi dan akses untuk memasuki kawasan luar bandar tertentu yang sukar antara faktor menyebabkan bekalan keperluan asas kadangkala mengalami gangguan," katanya melalui kenyataan media hari ini selepas mengadakan pemeriksaan dan pemantauan khas di kawasan Ulu Sungai dan Cheroh di Raub, Pahang.

Berdasarkan statistik dikeluarkan KPDNHEP bagi tempoh tiga tahun sejak 2019, sebanyak 12,221 premis diperiksa di seluruh negara dan daripada jumlah itu sebanyak 1,554 premis (13 peratus) membabitkan kawasan luar bandar, diikuti ada 2020, sebanyak 692,906 premis diperiksa dan daripada jumlah itu sebanyak 136,922 premis (20 peratus) adalah di kawasan luar bandar, manakala tahun lalu, sebanyak 865,086 premis diperiksa dan daripada jumlah itu 148,430 (17 peratus) membabitkan premis di

kawasan luar bandar.

Sehingga 28 Januari lalu pula, katanya, sebanyak 80,465 pemeriksaan direkodkan dan daripada jumlah itu sebanyak 12,834 premis (19 peratus) membabitkan kawasan luar bandar.

Azman berkata, penguatkuasaan dan pemantauan berterusan di kawasan luar bandar juga penting bagi memastikan peniaga-peniaga mematuhi semua undang-undang yang dikuatkuasakan oleh pihak Kementerian.

Beliau berkata, penguatkuasaan itu termasuk isu-isu berkaitan harga, tanda harga, alat timbang dan sukat, barang kawalan dan subsidi selain memastikan penyelewengan barang kawalan dan subsidi tidak berlaku.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati barangan keperluan harian didapati stabil dan mencukupi bagi menghadapi perayaan Tahun Baharu Cina Selasa ini.

"KPDNHEP menggalakkan masyarakat di luar bandar untuk menyalurkan maklumat dan membuat aduan sekiranya berlaku

gangguan bekalan keperluan asas di kawasan mereka selain salah laku oleh segelintir peniaga yang tidak beretika di dalam menjalankan aktiviti perniagaan," katanya.

Berita Harian X