Sabtu, 29 Januari 2022 | 7:25pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan sumbangan kepada penerima bantuan pada Majlis Penyerahan Wang Bantuan Pembelian Barangan Keperluan MTL 2021/2022 Daerah Bera di sini hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan sumbangan kepada penerima bantuan pada Majlis Penyerahan Wang Bantuan Pembelian Barangan Keperluan MTL 2021/2022 Daerah Bera di sini hari ini. - Foto BERNAMA

Mesyuarat khas minggu depan bincang rancangan tangani isu banjir - PM

BERA: Satu Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pengurusan Bencana peringkat pusat bagi menangani isu banjir secara komprehensif akan diadakan minggu depan, dengan pembabitan beberapa kementerian dan kerajaan negeri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata mesyuarat itu akan menyentuh beberapa aspek, antaranya perancangan jangka panjang membabitkan pembinaan tebatan banjir atau mengurangkan kesan impak bencana itu.

Katanya, kerjasama semua pihak dan pelbagai agensi diperlukan untuk menangani masalah banjir pada masa depan, bagi mengelak kerajaan terus berbelanja besar hampir setiap tahun untuk membaiki kerosakan akibat bencana itu.

"Kita nak selesaikan secara menyeluruh dan tidak mahu isu ini berulang kerana akhirnya kerajaan yang terpaksa berbelanja setiap tahun misalnya tahun ini sahaja lebih RM6 billion, sekiranya perbelanjaan itu digunakan untuk projek tebatan banjir, mungkin kita dapat selesaikan isu ini.

"Jadi kita nak dapatkan pandangan daripada kementerian berkaitan dan kerajaan negeri kerana mereka juga terlibat, sekiranya kita mahu membina rumah mangsa banjir di kawasan lain dan sebagainya, kerana bidang kuasa tanah di bawah mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan Wang Bantuan Pembelian Barangan Keperluan Monsun Timur Laut 2021/2022 Daerah Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan 1,157 ketua isi rumah mangsa banjir di Bera, di sini menerima wang tunai RM2,500.

Mengulas mengenai bantuan berkenaan, Ismail Sabri berkata bagi kawasan lain, bantuan itu juga sedang giat diagihkan dan akan disegerakan bagi meringankan beban mangsa banjir.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bera itu dalam ucapannya berkata beliau sebagai 'Ketua Keluarga Malaysia' akan menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat dengan baik.

"Menjadi tanggungjawab kita untuk jaga kepentingan keluarga. Kepentingan saya untuk jaga semua keluarga... sekiranya ahli keluarga ditimpa kesusahan, yang lain akan bantu. Semangat itu ada dalam kerajaan, tiada sesiapa yang akan ketinggalan untuk dibantu," katanya. –BERNAMA

Berita Harian X