Sabtu, 29 Januari 2022 | 4:42pm
Keadaan MPV yang remuk dirempuh pikap di KM 2 Jalan Lebu ke Mempaga, berhampiran susur ke Lebuh Raya Central Spine Road (CSR). - Foto ihsan Bomba dan PDRM
Keadaan MPV yang remuk dirempuh pikap di KM 2 Jalan Lebu ke Mempaga, berhampiran susur ke Lebuh Raya Central Spine Road (CSR). - Foto ihsan Bomba dan PDRM

Pemandu lalok akan direman lepas rawatan

BENTONG: Pemandu lelaki berusia 44 tahun yang didapati positif dadah selepas terbabit dalam kemalangan mengorbankan empat sekeluarga dalam kejadian di Kilometer (KM) 2 Jalan Lebu ke Mempaga berhampiran susur ke Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) di sini, semalam akan ditahan reman.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, suspek akan direman untuk siasatan lanjut selepas selesai menjalani rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), di Temerloh.

Menurutnya, hasil pemeriksaan pihak polis dalam kenderaan dinaiki suspek turut menemukan satu tiub straw lutsinar berisi syabu selain suspek mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan dadah.

Kemalangan jam 2.30 petang itu mengorbankan Raihan Mohamad, 43, dan tiga anaknya iaitu Ahda Dalili Mohd Nazri, 14; Ahmad Muaz, 7, dan Ahda Imtinan, 4.

Sebelum ini media melaporkan hasrat satu keluarga yang mahu menghadiri majlis perkahwinan di Kuala Lumpur berakhir tragedi apabila empat daripadanya termasuk tiga kanak-kanak maut selepas kenderaan mereka dirempuh dengan sebuah pikap.

Kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire yang dinaiki keluarga dari Gua Musang itu yang mahu ke Kuala Lumpur dirempuh pikap Nissan Navara.

Berita Harian X