Sabtu, 29 Januari 2022 | 12:55pm

'Sempat dengar isteri ucap Allahu Akbar'

KOTA BHARU: "Saya sempat mendengar arwah isteri ucap 'Allahu Akbar' sebelum kami dirempuh kenderaan itu dan menyebabkan isteri serta tiga anak kami tercampak keluar dari kenderaan.

"Saya tidak sempat berbuat apa-apa dan tidak nampak kehadiran kenderaan berkenaan di hadapan kereta kami," kata Mohd Nazri Hamid, 44.

Isteri Mohd Nazri, Raihan Mohamad, 43, meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Lebu ke Mempaga dekat Bentong, jam 2.30 petang, semalam.

Tiga anak mereka, Ahda Dalili Mohd Nazri, 14; Ahmad Muaz, 7; dan Ahda Imtinan, 5, turut meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki keluarga itu dan sebuah pikap.

Jenazah isteri dan tiga anak Mohd Nazri dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Panchor, Pengkalan Chepa di sini, jam 9.50 pagi tadi.

Siasatan awal polis berdasarkan maklumat saksi kejadian mendapati, pemandu pikap Nissan Navara berusia 44 tahun itu dipercayai melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh kenderaan mangsa dari hadapan.

Siasatan juga mendapati pemandu Nissan Navara berkenaan memiliki tujuh rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Mohd Nazri yang juga guru Sekolah Kebangsaan (SK) Aring, Gua Musang berkata, mereka sekeluarga bersama abang iparnya, Mohd Zaid, 46, bertolak dari kuarters kediaman di Felda Aring 1, 10 pagi semalam untuk menghadiri kenduri kahwin anak saudara isterinya di Kajang, Selangor.

"Saya memandu, manakala abang ipar sekeluarga yang menaiki Mitsubishi Pajero berada di belakang di sepanjang perjalanan itu.

"Anak kedua saya, Ahmad Awaz, 12, dan ketiga, Ahdan Fasihah, 11, menumpang kereta abang ipar. Di sepanjang jalan kami tidak berhenti namun, sebaik sampai di lencongan Sungai Koyan, ada satu treler terbalik menyebabkan perjalanan kami tergendala selama setengah jam.

"Selepas itu, kami meneruskan perjalanan dan berhenti di lampu isyarat di lokasi kejadian. Saya meneruskan pemanduan selepas melihat dua kereta di hadapan bergerak sebaik lampu isyarat bertukar hijau sebelum kereta kami dirempuh kenderaan itu," katanya.

Katanya, kenderaan abang iparnya berada di belakang dan terlepas daripada nahas berkenaan.

Beliau reda dengan kejadian itu yang menyebabkan isteri dan tiga anak meninggal dunia di hadapan matanya.

"Saya reda dengan kejadian ini dan berterima kasih kepada semua yang prihatin membantu kami di lokasi kejadian sehingga jenazah kesemuanya dikebumikan," katanya.

Mohd Nazri sebak menceritakan detik kemalangan meragut nyawa isteri dan tiga anaknya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Panchor, Pengkalan Chepa di sini. FOTO NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Mohd Nazri sebak menceritakan detik kemalangan meragut nyawa isteri dan tiga anaknya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Panchor, Pengkalan Chepa di sini. FOTO NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Berita Harian X