Jumaat, 28 Januari 2022 | 9:18pm
Norazam bersama orang awam yang menerima sijil penghargaan JBPM Selangor. - Foto NSTP/Ruwaida Md Zain
Norazam bersama orang awam yang menerima sijil penghargaan JBPM Selangor. - Foto NSTP/Ruwaida Md Zain

Bomba kenal pasti lebih 20 'hotspot' banjir di Selangor

SHAH ALAM: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengenal pasti lebih 20 kawasan 'hotspot' banjir kilat di beberapa daerah di negeri ini.

Pengarahnya, Norazam Khamis, berkata pihaknya kini sedang meningkatkan kesiapsiagaan tanpa perlu menunggu panggilan daripada orang ramai apabila berlaku hujan atau ribut di kawasan terbabit.

"Bomba sudah kenal pasti kawasan banjir kilat atau sering dilanda ribut, contohnya Seksyen 13, itu kawasan 'hotspot' banjir kilat.

"Begitu juga di Taman Sri Muda, di mana dalam kejadian Isnin lalu tindakan pantas bomba memastikan kawasan itu selamat dengan memaklumkan segera kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan.

"Tindakan diambil oleh pihak berkenaan dalam kadar segera selepas dimaklumkan hujan lebat menyebabkan limpahan air dan longkang tersumbat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran sempena Tahun Baharu Cina di Aeon Mall Seksyen 13, di sini, hari ini.

Norazam berkata, antara 20 lokasi itu adalah daerah Petaling yang dikenal pasti di Shah Alam, khususnya Sri Muda, Bukit Lanchong, Jalan Kebun dan Seksyen 13, manakala di Subang Jaya seperti Puchong.

"Di daerah Sepang dan Kuala Langat seperti di Bukit Changgang, Labohan Dagang, Labu Lanjut, itu kawasan hot spot banjir, manakala Kuala Selangor di Parit Mahang dan Desa Coalfield.

"Kawasan Rawang pula di Pekan Rawang di mana jika hujan lebat akan menyebabkan banjir kilat, itu kawasan yang menjadi 'hotspot'," katanya.

Mengenai kejadian ribut semalam, beliau berkata pihaknya kini dalam keadaan berjaga-jaga sehingga pertengahan Februari ini.

"Kita kini mempersiapkan supaya gerak kerja lebih konsisten, cepat dan cekap. Jadi sekiranya berlaku banjir, kita boleh bertindak awal membabitkan keseluruhan aspek.

"Kita tidak lagi menunggu panggilan, jika mula hujan dan mendapat ramalan cuaca dari Jabatan Meteorologi, kita akan bersiap siaga dengan aset dan perkara berkaitan operasi menyelamat," katanya.

Berita Harian X