Jumaat, 28 Januari 2022 | 5:31pm
Kemungkinan varian Omicron yang sudah bertapak dalam komuniti menjadi penyebab peningkatan mendadak kes jangkitan COVID-19 yang kembali melepasi angka 5,000 semalam. - Foto NSTP
Kemungkinan varian Omicron yang sudah bertapak dalam komuniti menjadi penyebab peningkatan mendadak kes jangkitan COVID-19 yang kembali melepasi angka 5,000 semalam. - Foto NSTP

Peningkatan kes, mungkin Omicron sudah bertapak dalam komuniti - Pakar

KUALA LUMPUR: Kemungkinan varian Omicron yang sudah bertapak dalam komuniti menjadi penyebab peningkatan mendadak kes jangkitan COVID-19 yang kembali melepasi angka 5,000 kes semalam.

Untuk rekod, selepas kali terakhir kes COVID-19 melebihi 5,000 pada 10 Disember tahun lalu, dengan 5,439 kes baharu dilaporkan semalam dan hari ini mencatatkan peningkatan lagi kepada 5,522 kes.

Pakar virologi dari Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sazaly Abu Bakar, berkata orang ramai sudah semakin alpa dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang menjadi penyebab peningkatan kes, selain berkemungkinan Omicron sudah bertapak dalam komuniti.

"Masing-masing perlu beringat wabak COVID-19 masih lagi menular, justeru pematuhan SOP perlu diikuti dan dipatuhi dengan sebaik-baiknya oleh semua lapisan masyarakat.

"Ia terutama golongan 'kayangan' serta terkini dengan keghairahan pihak tertentu berpolitik di Johor," katanya.

Rabu lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, dalam ciapan di Twitter berkata, gelombang penularan Omicron sudah bermula di negara ini dan dijangka menyebabkan jumlah kes COVID-19 akan meningkat.

Katanya, ketika ini gelombang jangkitan virus itu terkawal kerana kadar vaksinasi di negara ini adalah tinggi.

Pada masa sama, beliau meminta kerjasama masyarakat untuk bersama-sama menyertai usaha Kementerian Kesihatan (KKM) mengatasi gelombang penularan berkenaan dengan mematuhi SOP pencegahan seperti memakai pelitup muka dan menjalani ujian saringan.

"Sistem kesihatan sudah bersiap siaga. Kes serius semakin kurang. Sama-sama kita mengatasi gelombang ini," katanya.

Berita Harian X