Jumaat, 28 Januari 2022 | 4:08pm

Dos penggalak kurang sambutan di Perak

MANJUNG: Pengambilan suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 di Perak masih dianggap rendah berikutan kurang mendapat sambutan daripada penduduk di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin, berkata setakat ini pemberian dos penggalak membabitkan 711,380 individu iaitu hanya 42.9 peratus.

Katanya, tindakan segelintir individu yang menyampaikan maklumat tidak tepat mengenai dos penggalak antara faktor masyarakat menjadi takut mendapatkan dos itu.

"Dos penggalak (agak) kurang sedikit mendapat sambutan, berbanding dos sebelum ini. Ada juga masyarakat terbabit dalam 'troll' (seperti menyindir) dos penggalak sesuatu merosakkan (memberi tanggapan negatif dan kurang baik).

"Hanya 42.9 peratus atau 711,380 penduduk dewasa sudah menerima dos penggalak, belum sampai 1 juta sedangkan (yang menerima) dos lengkap 1.8 juta," katanya selepas majlis pelancaran Operasi Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri di sebuah pasar raya di sini, hari ini.

Mohd Akmal berkata, sehubungan itu masyarakat diharap dapat menyambut baik usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19.

"Kerajaan sedang berusaha menyelamat dan memutuskan rantaian COVID-19 dan kita berharap pihak yang terbabit dapat menghentikan usaha seperti itu supaya usaha kerajaan dapat diteruskan dengan baik," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 197 kes positif COVID-19 dicatatkan daripada kluster pendidikan di Perak.

"Terdapat empat sekolah asrama di Ipoh dan Taiping serta dua institusi yang bukan di bawah Jabatan Pendidikan Negeri di Perak Tengah dan Bagan Datuk direkodkan mempunyai kes COVID-19 baru-baru ini.

"Terdapat kes tertentu yang menjalani kuarantin di rumah, namun difahamkan lebih 80 pelajar sebuah sekolah agama di Ipoh akan tamat menjalani kuarantin esok selepas semuanya didapati negatif," katanya.

Mohd Akmal (kanan) melakukan pemeriksaan pada majlis pelancaran Operasi Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Perak di sebuah pasar raya di Manjung. - Foto NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
Mohd Akmal (kanan) melakukan pemeriksaan pada majlis pelancaran Operasi Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Perak di sebuah pasar raya di Manjung. - Foto NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
Berita Harian X