Jumaat, 28 Januari 2022 | 3:29pm
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dibenarkan keluar dari IJN hari ini. - Foto BERNAMA
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dibenarkan keluar dari IJN hari ini. - Foto BERNAMA

Agong dibenar keluar IJN hari ini

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dibenarkan keluar dari Wad Diraja Institut Jantung Negara (IJN) di sini, hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin ketika dihubungi Bernama mengesahkan, Seri Paduka dibenarkan keluar dari IJN pada jam 11 pagi tadi selepas selesai menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan sejak Sabtu lalu.

Seri Paduka selepas itu berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Surau Utama Istana Negara.

Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa terharu dengan keprihatinan rakyat terhadap keafiatan baginda dan menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat yang mendoakan kesejahteraan baginda.

Pada Ahad lalu, Ahmad Fadil menerusi satu kenyataan memaklumkan pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan itu adalah berkaitan rawatan intervensi pada sendi-sendi lutut dan buku lali yang dijalani oleh Seri Paduka di IJN pada 24 September lalu.

Menurutnya, intervensi itu dibuat selepas Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) menunjukkan kecederaan pada sendi-sendi lutut dan buku lali Al-Sultan Abdullah ketika bersukan.

Berita Harian X