Jumaat, 28 Januari 2022 | 2:12pm

Perdana Menteri tinjau Menara Kuantan 188, karavan

KUANTAN: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini, meninjau Menara Kuantan 188, antara produk pelancongan terkini dan ikonik yang dibangunkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di tepi pesisir Sungai Kuantan, di sini.

Beliau tiba di menara kedua tertinggi di Malaysia selepas Menara Kuala Lumpur itu, pada 12.10 tengah hari dengan menaiki kereta bugi dari dari Kompleks Bandaraya Kuantan yang terletak kira-kira 200 meter dari menara itu, selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Hadir sama ialah Menteri Besar dari negeri Pantai Timur iaitu Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (Pahang), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Terengganu) dan Datuk Ahmad Yakob (Kelantan) serta Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Setibanya di perkarangan Menara Kuantan 188, Perdana Menteri juga mendengar taklimat dan meninjau kenderaan rekreasi (RV) atau lebih dikenali sebagai karavan iaitu satu daripada produk pelancongan terkini yang dicadangkan oleh ECERDC untuk dibangunkan di sebuah daerah di Pahang.

Beliau bersama rombongan itu juga dibawa ke 'skydeck' Menara Kuantan yang menyajikan pemandangan 360 darjah keseluruhan bandar raya Kuantan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Baidzawi Che Mat menerusi kenyataan media yang diedarkan, berkata pelancongan RV adalah trend semasa yang semakin popular kerana ia memberi pilihan pelancongan lebih terbuka untuk pelbagai aktiviti luar dan aktiviti peribadi.

"Industri pelancongan RV sedang berkembang pesat di negara seperti Australia, China, Korea Selatan, Jepun dan New Zealand serta menjadi komponen penting bagi ekonomi negara itu.

"Ini membuka peluang untuk Malaysia secara amnya dan ECER secara khususnya untuk memanfaatkan trend ini untuk mewujudkan peluang pertumbuhan pelancongan baharu di ECER dan meneroka potensi membangunkan industri RV di wilayah ini," katanya.

Mengenai Menara Kuantan 188 Baizawi, berkata seramai 23,600 pelawat telah mengunjungi menara berkenaan sejak ia dibuka secara rasmi pada 15 Disember lepas.

Konsep reka bentuk pembinaan menara itu diinspirasikan daripada daun dan bunga pokok Teruntum Putih yang dulunya banyak terdapat di pinggir Sungai Kuantan. – BERNAMA

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tertarik melihat peserta “skywalk” yang memakai pakaian tradisional semasa melakukan aktiviti itu ketika mengadakan lawatan ke Menara Kuantan 188 di sini, hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tertarik melihat peserta “skywalk” yang memakai pakaian tradisional semasa melakukan aktiviti itu ketika mengadakan lawatan ke Menara Kuantan 188 di sini, hari ini. - Foto Bernama
Berita Harian X