Khamis, 27 Januari 2022 | 6:28pm
Angka harian kes COVID-19 di negara ini kembali melepas 5,000 dengan 5,439 kes baharu dilaporkan setakat jam 12 tengah hari tadi. - Foto BERNAMA
Angka harian kes COVID-19 di negara ini kembali melepas 5,000 dengan 5,439 kes baharu dilaporkan setakat jam 12 tengah hari tadi. - Foto BERNAMA

Kes harian COVID-19 kembali lepasi angka 5,000

KUALA LUMPUR: Angka harian kes COVID-19 di negara ini kembali melepasi 5,000 dengan 5,439 kes baharu dilaporkan setakat jam 12 tengah hari tadi.

Kali terakhir negara merekodkan kes melebihi 5,000 adalah pada 1 Disember 2021 dengan 5,439 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata angka itu menjadikan jangkitan kumulatif di negara ini meningkat kepada 2,850,408 kes.

Katanya, sebanyak 5,107 kes membabitkan penularan tempatan, manakala 332 lagi kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

"Daripada jumlah kes yang dilaporkan hari ini, sebanyak 47 kes (0.9 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima, manakala 5,392 kes (99.1 peratus) lagi kategori satu dan dua.

"Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 124 kes dan kes memerlukan bantuan pernafasan ialah 70 kes," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai pertambahan 22 kluster baharu hari ini, Dr Noor Hisham berkata, ia menjadikan sehingga kini terdapat 274 kluster penularan COVID-19 yang masih aktif di negara ini.

Sementara itu, menerusi laman COVIDNOW , seramai 203,943 individu dewasa di negara ini menerima dos penggalak COVID-19 kelmarin, menjadikan jumlah kumulatif bagi pemberian dos penggalak meningkat kepada 11,327,531 atau 48.4 peratus.

Selain itu, seramai 22,920,175 atau 97.9 peratus daripada populasi dewasa sudah lengkap menerima vaksinasi, manakala 23,197,884 individu atau 99.1 peratus daripada kumpulan itu, menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin COVID-19.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, seramai 2,784,682 individu atau 88.5 peratus melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 2,865,987 individu atau 91.1 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

Statistik harian menunjukkan 208,042 dos vaksin sudah diberikan kelmarin, membabitkan 1,677 dos pertama, 2,422 dos lengkap dan 203,943 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bertambah kepada 62,892,195 dos.

Menurut Portal Github KKM pula, sebanyak 12 kematian akibat COVID-19 dilaporkan semalam dengan Sabah dan Selangor masing-masing merekodkan tiga kes, Johor (dua kes) dan masing-masing satu kes di Melaka, Pahang, Perak dan Pulau Pinang.

Berita Harian X