Khamis, 27 Januari 2022 | 2:10pm
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang diwakili oleh Naib Canselornya Prof Roziah Mohd Janor (tiga, kanan) dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) yang diwakili Setiausahanya, Datuk Indra Ikmalrudin Ishak (tiga, kiri) di Anjung Seri Budiman UiTM Shah Alam hari ini.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang diwakili oleh Naib Canselornya Prof Roziah Mohd Janor (tiga, kanan) dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) yang diwakili Setiausahanya, Datuk Indra Ikmalrudin Ishak (tiga, kiri) di Anjung Seri Budiman UiTM Shah Alam hari ini.

Lebih 400,000 pelajar IPT layak mengundi - Noraini

SHAH ALAM: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) merekodkan seramai 452,559 orang atau 38 peratus daripada 1.2 juta penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di bawah seliaanya berumur antara 18 hingga 20 tahun selepas Undi18 dilaksanakan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, jumlah itu mempunyai pengaruh besar bagi mencorak keputusan pilihan raya umum akan datang.

"Justeru, KPT mempunyai peranan menyediakan pelajar IPT yang matang dan berketerampilan dalam sudut pandang politik.

"Pelajar IPT perlu diterapkan dengan pemikiran dan pemahaman yang benar tentang literatur politik negara, termasuk menyediakan mereka sebagai pelapis kepimpinan negara.

"Bahkan dengan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada@ 2019 yang membuang Seksyen 15(2)(c), pelajar sewajarnya dibimbing untuk berpolitik di kampus sebagai praktikal terbaik sebelum mereka keluar ke medan masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi MARA dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia dan Pelancaran Buku Laporan Kajian Pembentukan DNA UiTM, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh dan Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Dr Roziah Mohd Janor.

Noraini berkata, beliau melihat jalinan kerjasama antara UiTM dan SPR sebagai satu langkah proaktif UiTM sebagai perintis kepada projek KPT bagi Program Kesedaran Pendidikan Pengundi dalam kalangan mahasiswa.

"Seharusnya, program pendidikan kesedaran pengundi ini diperluaskan lagi ke IPT yang lain untuk cakupan ruang lingkup yang lebih luas.

"Malah saya percaya dengan usaha berterusan dan kerjasama yang dilaksanakan dapat memberi pendedahan dan mempersiapkan mahasiswa dalam mengetahui hak serta tanggungjawab mereka sebagai pengundi dalam menentukan masa hadapan negara.

"Usaha ini juga bagi mempersiapkan mereka sebagai barisan pelapis kepimpinan negara kelak," katanya.

Berita Harian X