Rabu, 26 Januari 2022 | 7:52pm
- Foto hiasan. - NSTP/ARKIB
- Foto hiasan. - NSTP/ARKIB

57 agensi Persekutuan laksana kaedah khidmat tanpa tunai - MyDIGITAL

KUALA LUMPUR: Sebanyak 57 agensi kerajaan Persekutuan telah melaksanakan kaedah perkhidmatan tanpa tunai setakat Julai 2021, kata Ketua Pegawai Eksekutif MyDIGITAL Corporation (MyDIGITAL), Fabian Bigar.

Memetik hasil dapatan laporan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), beliau berkata, semua kementerian dan agensi menyasarkan untuk menyediakan pilihan kaedah pembayaran secara tanpa tunai itu menjelang 2022 walaupun langkah itu masih belum diamalkan di peringkat negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif MyDIGITAL Corporation (MyDIGITAL), Fabian Bigar.
Ketua Pegawai Eksekutif MyDIGITAL Corporation (MyDIGITAL), Fabian Bigar.

"Ini angka di peringkat kerajaan Persekutuan setakat Julai lalu. Kami menjangkakan angka itu pada masa ini adalah jauh lebih tinggi," katanya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Pengurusan Perubahan Strategik (MyDIGITAL) di bawah Unit Perancangan Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Beliau berkata demikian pada sesi secara maya bertajuk 'Memacu Agenda Ekonomi Digital Kebangsaan: Pemangkin dan Ejen Perubahan' pada acara Minggu MyFintech 2022 di sini, hari ini.

Bigar turut mempelawa sektor swasta untuk menjalin kerjasama dengan kerajaan bagi mencapai objektif MyDIGITAL yang menetapkan hala tuju Malaysia dalam menerajui ekonomi digital rantau ini.

Objektif itu adalah menggalakkan penggiat industri menjadi pencipta, pengguna dan menerima guna model perniagaan inovatif, memanfaatkan modal insan agar berjaya dalam ekonomi digital, selain mewujudkan ekosistem yang bersepadu bagi membolehkan masyarakat menguasai ekonomi digital.

"Saya berharap dapat melihat penyertaan sektor swasta yang lebih ketara. Hubungi kami dan lihat bagaimana dapat menyumbang ke arah usaha terbabit," katanya.

Merujuk perkembangan terkini Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar 4IR Negara (Revolusi Perindustrian Keempat), beliau berkata, Fasa 1 (2021-2022) menumpukan aspek membentuk asas penerimagunaan digital dan merangkumi 58 inisiatif dengan tiga telah selesai pada tahun lalu, manakala selebihnya dijangka siap menjelang akhir tahun ini. - BERNAMA

Berita Harian X