Rabu, 26 Januari 2022 | 6:55pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Vaksinasi dos penggalak secara 'walk-in' di Lembah Klang bermula esok

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menawarkan perkhidmatan vaksinasi dos penggalak secara datang terus (walk-in) kepada semua penduduk dewasa berusia 18 tahun ke atas, di empat PPV Integrasi sekitar Lembah Klang yang sedang beroperasi ketika ini bermula esok.

Kenyataan media kementerian itu menyatakan, ia bagi mempertingkatkan lagi kadar pengambilan dos penggalak dan memastikan lebih ramai penduduk di Lembah Klang mendapat perlindungan imuniti yang optimum terhadap jangkitan COVID-19 termasuk ancaman varian Omicron.

Kementerian itu berkata, liputan vaksinasi dos penggalak di Lembah Klang juga amat menggalakkan dengan 68.2 peratus penduduk dewasa sudah menerima dos penggalak, selepas Sarawak yang mencatatkan liputan tertinggi iaitu sebanyak 69.5 peratus.

"Sehingga semalam, seramai 11,119,363 atau 47.5 peratus penduduk Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas sudah menerima dos penggalak vaksin COVID-19," katanya.

KKM berkata, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan - Dos Penggalak (PICK-Booster) yang bermula pada 13 Oktober lalu, adalah antara langkah mengawal pandemik COVID-19.

Ia memaklumkan, sejak 15 Januari lalu, empat PPV Integrasi dibuka untuk mempertingkatkan lagi kapasiti pemberian vaksin di Lembah Klang, iaitu di World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur; Axiata Arena, Bukit Jalil; Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam; dan Dewan Soka Gakkai, Klang.

Katanya, vaksin yang diberikan di PPV Integrasi di Lembah Klang adalah vaksin AstraZeneca, manakala vaksin Pfizer juga akan dibekalkan bagi individu tertentu seperti ibu hamil yang sudah menerima temujanji atau individu yang mempunyai kontraindikasi terhadap vaksin AstraZeneca.

"Individu yang ingin hadir secara 'walk-in' perlu memastikan sijil vaksinasi digital dalam aplikasi MySejahtera adalah lengkap bagi melancarkan proses vaksinasi," katanya.

Berita Harian X