Rabu, 26 Januari 2022 | 4:13pm

Kutipan hasil Kastam tahun lalu RM42.5 bilion

PETALING JAYA: Kutipan hasil Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tahun lalu mencecah RM42.5 bilion, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, kutipan itu melepasi sasaran awal RM40 bilion yang ditetapkan Kementerian Kewangan.

"Kejayaan kutipan hasil tahun lalu menyerlahkan keunggulan sektor penguatkuasaan JKDM.

"Pada masa sama, JKDM berjaya menumpaskan kartel pengedaran dadah antarabangsa dengan rampasan dadah seberat 16 tan bernilai RM5.2 bilion.

"Sekalung ucapan tahniah dan terima kasih saya zahirkan kepada seluruh pegawai dan anggota JKDM atas kejayaan cemerlang yang diraih, walaupun kita masih berdepan ketidaktentuan global khasnya ancaman pandemik COVID-19 serta bencana alam," katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Kastam Sedunia ke-40 di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd Shahar Abdullah dan Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa.

Perdana Menteri berkata, prestasi cemerlang JKDM membolehkannya bergerak memacu pertumbuhan berkualiti dan positif bagi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), ke arah menyuburkan kemakmuran Keluarga Malaysia.

Katanya, untuk tahun ini, JKDM diharap dapat meningkatkan sasaran pungutan hasil.

"Ini dapat dihasilkan dengan usaha gigih seluruh warga JKDM dengan kerjasama daripada semua pihak khususnya orang awam," katanya.

Ismail Sabri berkata, sebagai jabatan yang dinamik dan mampan, JKDM perlu memastikan segenap warganya celik digital.

Katanya, pada masa sama, JKDM perlu sentiasa bersedia mengadaptasi transformasi teknologi semasa dalam membina dan membudayakan ekosistem data.

"Anjakan ini selaras aspirasi Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan inisiatif Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang dilaksanakan kerajaan bagi memacu Malaysia sebagai peneraju sektor ekonomi digital yang cekap dan proaktif.

"Hasrat menggerakkan transformasi digital dalam perkhidmatan awam ini juga bukan suatu perkara baharu yang asing, malah digariskan dengan jelas dalam Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021–2025," katanya.

Ismail Sabri berkata, pendigitalan juga termaktub dalam Tujuh Teras Strategik Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

"Saya percaya suntikan transformasi digital melalui pemerkasaan budaya dan ekosistem data dalam urusan perkhidmatan serta operasi JKDM mampu memperkasa prestasi jabatan ini.

"Ini sekali gus mencorak Malaysia sebagai negara maju yang kompetitif dan berdaya saing," katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa berusaha membantu JKDM untuk terus fokus membanteras penyeludupan dan memudah cara perdagangan bagi meningkatkan pungutan hasil serta memantapkan lagi kawalan sempadan negara.

"Komitmen ini terbukti melalui penambahan bot peronda dan mesin pengimbas sebagai aset baharu JKDM bagi memantapkan kedaulatan perbatasan serta berupaya melancarkan aktiviti perdagangan rentas sempadan," katanya.

Ismail Sabri memeriksa barisan ketika hadir pada sambutan Hari Kastam Sedunia ke-40, di Kompleks Kastam, Kelana Jaya. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Ismail Sabri memeriksa barisan ketika hadir pada sambutan Hari Kastam Sedunia ke-40, di Kompleks Kastam, Kelana Jaya. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Berita Harian X