X
Selasa, 25 Januari 2022 | 8:28pm

MUDA cabaran untuk semua parti politik

JOHOR BAHRU: Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang dijangka membuat penampilan sulung sekali gus bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti, dianggap cabaran tambahan kepada semua parti politik termasuk UMNO.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata kehadiran MUDA itu menyebabkan parti berkenaan perlu menambah strategi parti untuk berhadapan PRN.

"UMNO selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) terbuka dengan dinamik politik yang pelbagai dan UMNO selaku parti terbesar negara perlu hadapinya dengan tabah.

"Pertambahan pengundi muda menerusi pendaftaran automatik Undi18 bukan hanya cabaran pada UMNO sahaja malah pada Perikatan Nasional (PN) Pakatan Harapan dan semua parti bertanding. Kita menerima cabaran ini dengan fikiran terbuka," katanya selepas mempengerusikan taklimat dan mesyuarat bersama 26 setiausaha bahagian Johor, di Bangunan UMNO Johor, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha UMNO Johor, Datuk Samsolbari Jamali.

Sabtu lalu, media melaporkan PH Johor mengesahkan parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), secara prinsipnya akan bekerjasama dengan gabungan berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, jika ia diadakan dalam masa terdekat.

Pengerusinya, Aminolhuda Hassan yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, dilaporkan berkata persetujuan dicapai dalam perbincangan bersama Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abd Rahman, baru-baru ini.

Kelmarin pula, PRN Johor dilaporkan akan menjadi medan pertama bagi pengundi yang berusia 18 tahun dan pendaftaran automatik memilih wakil rakyat di kawasan DUN masing masing.

Pindaan umur kelayakan pengundi 18 tahun di negara itu dan pendaftaran pemilih secara automatik telah diwartakan secara rasmi pada Rabu lalu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Bagi PRN Johor, jumlah pengundi muda dianggarkan 749,731 menjadikan jumlah pengundi di negeri itu yang akan mengundi pada PRN kali ini ialah 2.5 juta berbanding 1.8 juta pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, UMNO tidak menganggap MUDA sebagai satu ancaman sebaliknya melihatnya sebagai satu kedinamikan politik dalam proses demokrasi tanah air.

"Ini demokrasi dan semua parti boleh bertanding. Kita berfikiran terbuka dan tidak ada halangan kerana kita mengamalkan politik yang matang. UMNO ada strategi sendiri dalam usaha menarik pengundi muda semasa PRN Johor.

"Antaranya, menerusi sayap parti Pemuda dan Puteri yang sudah dilakukan sejak sebelum ini lagi," katanya.

UMNO juga akan menggunakan media sosial untuk mendekati golongan muda seperti yang dilakukan semasa PRN Melaka susulan kekangan tidak dapat berkempen seperti biasa pada masa itu.

"UMNO juga akan menampilkan calon muda yang akan bergandingan dengan calon berpengalaman dan wanita bagi menarik sokongan golongan berkenaan.

"Bagi menarik golongan muda juga kita harapkan golongan ibu bapa yang juga ahli UMNO akan memujuk anak-anak mereka yang juga pengundi baharu dan muda untuk mengundi UMNO serta BN, " katanya.

Ahmad Maslan (kiri) dan Shamsolbari Jamali (kanan) ketika sidang media selepas Mesyuarat Setiausaha Bahagian negeri Johor di Bangunan UMNO Jalan Yahya Awal, Johor Bahru hari ini. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Ahmad Maslan (kiri) dan Shamsolbari Jamali (kanan) ketika sidang media selepas Mesyuarat Setiausaha Bahagian negeri Johor di Bangunan UMNO Jalan Yahya Awal, Johor Bahru hari ini. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Berita Harian X