Selasa, 25 Januari 2022 | 6:58pm
Malaysia mencatat 162 jangkitan Omicron dalam masa tiga hari. - Grafik NSTP
Malaysia mencatat 162 jangkitan Omicron dalam masa tiga hari. - Grafik NSTP
Pelalian dapat mengurangkan kesan pesakit COVID-19. - Foto hiasan
Pelalian dapat mengurangkan kesan pesakit COVID-19. - Foto hiasan

162 kes Omicron dalam 3 hari

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 162 kes baharu varian membimbangkan (VOC) Omicron, dalam tempoh dari 23 Januari hingga hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengenal pasti sebanyak 89 kes baharu; sebanyak 71 kes baharu dikesan makmal Fakulti Perubatan Universiti Malaya (FOM-UM), manakala Institut Genome dan Vaksin Malaysia (MGI) mengenal pasti dua kes.

Beliau berkata, semua kes itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan varian mendapat perhatian (VOI) kini sebanyak 7,056 kes.

"Daripada jumlah yang dikesan itu, 7,036 kes ialah VOC, manakala 20 kes VOI. Secara keseluruhan, sehingga kini, bagi VOC terdapat sebanyak 6,188 kes varian Delta; 601 kes varian Omicron; 233 kes varian Beta; dan 14 kes varian Alpha.

"Bagi kes-kes VOI pula, terdapat sebanyak 13 kes varian Theta; empat kes varian Kappa; dan tiga kes varian Eta," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebilangan besar daripada 162 kes baharu varian Omicron itu dikesan di Selangor membabitkan 59 kes, disusuli 39 kes di Kuala Lumpur; Kedah (13); masing-masing 10 kes di Negeri Sembilan dan Kelantan; Johor (lapan); Pahang (enam); Perak (lima); Pulau Pinang (empat); masing-masing dua kes di Melaka, Perlis dan Sabah, serta masing-masing satu kes di Terengganu dan Putrajaya.

Sementara itu, Malaysia hari ini melaporkan sebanyak 4,066 kes positif baharu COVID-19, yang menyumbang kepada sejumlah 2,840,225 kes kumulatif sejak dua tahun lalu.

Dr Noor Hisham berkata, daripada kes yang dilaporkan hari ini, sebanyak 3,624 kes penularan tempatan dengan 3,521 warganegara (97.2 peratus) dan 103 bukan warganegara (2.8 peratus)

Daripada 442 kes import, katanya, seramai 323 pesakit ialah rakyat tempatan (73.1 peratus) dan 119 pesakit lagi warga asing (26.9 peratus).

"Daripada 4,066 kes harian yang dilaporkan pada hari ini sebanyak 50 kes (1.2 peratus) kategori 3, 4, dan 5; dan 4,016 kes lagi (98.8 peratus) terdiri daripada kategori 1 dan 2.

"Sebanyak 131 kes kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 65 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Beliau berkata, KKM turut mengesan 13 kluster jangkitan baharu COVID-19 di negara ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 6,328 kluster.

Katanya, daripada jumlah itu, 6,084 kluster sudah ditamatkan dan 244 kluster masih lagi aktif.

KKM juga melaporkan sebanyak 3,559 kes sembuh hari ini, menyumbang kepada sejumlah 2,762,608 kes kumulatif, atau 97.3 peratus daripada keseluruhan kes positif yang dilaporkan sejak Januari 2020.

Jururawat menyuntik dos penggalak vaksin COVID-19 kepada warga emas penghuni Pusat Jagaan Damai Permai, Bertam Kepala Batas. - Foto NSTP/DANIAL SAAD
Jururawat menyuntik dos penggalak vaksin COVID-19 kepada warga emas penghuni Pusat Jagaan Damai Permai, Bertam Kepala Batas. - Foto NSTP/DANIAL SAAD

Berita Harian X