Selasa, 25 Januari 2022 | 4:32pm
Fadillah diiringi Ahmad Samsuri pada perasmian majlis pecah tanah menaik taraf jambatan merentasi Sungai Marang di Kampung Seberang Marang hari ini. Jambatan di Jalan Kuala Terengganu- Kuantan dengan kos projek bernilai RM338.5 juta itu dijangka siap pada Oktober 2025 dapat mengurangkan kadar kesesakan trafik dan memberi keselesaan pengguna jalan raya terutamanya pada waktu puncak. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Fadillah diiringi Ahmad Samsuri pada perasmian majlis pecah tanah menaik taraf jambatan merentasi Sungai Marang di Kampung Seberang Marang hari ini. Jambatan di Jalan Kuala Terengganu- Kuantan dengan kos projek bernilai RM338.5 juta itu dijangka siap pada Oktober 2025 dapat mengurangkan kadar kesesakan trafik dan memberi keselesaan pengguna jalan raya terutamanya pada waktu puncak. - Foto NSTP/Ghazali Kori

KKR minta Kementerian Kewangan senarai barang VOP

MARANG: Kementerian Kerja Raya (KKR) akan mengemukakan beberapa lagi permohonan kepada Kementerian Kewangan bagi membantu kontraktor yang sedang melaksanakan projek-projek kerajaan menghadapi kenaikan mendadak harga bahan binaan dan logistik akibat penularan pandemik COVID-19.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata antara yang akan dikemukakan adalah lanjutan tempoh pelaksanaan Syarat Perubahan Harga (VOP) yang dilaksanakan dalam kontrak kerja kerajaan, yang sebelum ini telah dilanjutkan hingga 30 Jun 2022.

"Itu yang kita bincangkan. Setakat ini (pelaksanaan) VOP sampai bulan Jun ini dan kita akan lihat sama ada tempoh itu boleh dilanjutkan," katanya selepas Majlis Pecah Tanah Projek Menaik Taraf Jambatan Merentasi Sungai Marang di Laluan FT003 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, hari ini.

Majlis pecah tanah dan serahan surat terima projek itu disempurnakan Fadillah bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Fadillah berkata kementeriannya juga akan mengemukakan rayuan kepada Kementerian Kewangan untuk menambah senarai bahan binaan di bawah pelaksanaan VOP, yang setakat ini membabitkan 14 bahan.

"Kita juga akan nilai balik jenis-jenis projek yang layak mendapat VOP.

"Sekarang ini yang dapat hanya projek berasaskan konvensional tender dan reka dan bina. Cuma yang (kerja-kerja) sebut harga tidak boleh jadi ini kita kena lihat dan bincang kembali dengan Kementerian Kewangan bagaimana kita hendak tangani kos yang begitu tinggi supaya tidak membebankan kontraktor dan dalam masa sama projek untuk rakyat dapat disiapkan mengikut masa yang ditetapkan," katanya.

Fadillah berkata, pandemik COVID-19 menyebabkan kenaikan harga bahan binaan di peringkat global yang antara lain telah menjejaskan aktiviti pemprosesan sehingga menyebabkan kos bahan mentah meningkat, selain perubahan dasar di peringkat luar negara seperti China yang memutuskan untuk tidak mengeksport beberapa barangan.

Dalam perkembangan lain, Fadillah berkata, KKR memperuntukkan hampir RM972 juta untuk projek pembangunan di Terengganu manakala Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pula memperuntukkan kira-kira RM896 juta.

Katanya, secara keseluruhan, terdapat 19 projek pembangunan yang berada dalam fasa pra-pembinaan dan fasa pembinaan dengan 10 projek di bawah KKR manakala selebihnya di bawah KPLB.

Berita Harian X