Selasa, 25 Januari 2022 | 4:21pm
 John Sun, mencipta sejarah apabila menerima PhD dalam bidang Pendidikan Islam pada Majlis Konvokesyen UniSZA, hari ini. NSTP/GHAZALI KORI
John Sun, mencipta sejarah apabila menerima PhD dalam bidang Pendidikan Islam pada Majlis Konvokesyen UniSZA, hari ini. NSTP/GHAZALI KORI

Graduan Cina terima PhD Pendidikan Islam

KUALA NERUS: Seorang graduan berbangsa Cina mencipta sejarah tersendiri apabila menerima ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pendidikan Islam pada Majlis Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Dewan Al Muktafi Billah Shah, Kampus Gong Badak, di sini, hari ini.

Datuk Dr Ang John Sun, 55, mengejutkan ramai hadirin apabila beliau diumumkan sebagai penerima PhD dalam bidang Pendidikan Islam, sekali gus berjaya memenuhi amanat mendiang ibunya yang meminta menyambung pengajian sehingga ke peringkat PhD.

"Ibu teringin melihat saya mendapat PhD dan hari ini saya sangat gembira kerana dapat merealisasikan impiannya itu.

"Sebenarnya sedih juga kerana ketika mendaftar PhD di UniSZA pada 2018, ibu datang menemani saya tetapi kini dia sudah tiada," katanya.

John Sun berkata, dia dikelilingi rakan dan masyarakat berbangsa Melayu yang membuatkannya sentiasa berkomunikasi menggunakan bahasa itu.

Katanya, beliau kemudian fasih bertutur menggunakan bahasa Melayu dan dari situ mula meminati adat Melayu termasuk ingin mendalami ilmu Pendidikan Islam.

"Sebelum ini saya melanjutkan pengajian Sarjana Sains di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Ijazah Sarjana Muda Ilmu Kemanusiaan di Universiti Sains Malaysia (USM)," katanya.

Bercerita lanjut, katanya, dia mengambil mata pelajaran Pendidikan Islam ketika peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sekarang mengajar Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badak Bachok, Kelantan.

Pada majlis itu, bapa kepada anak kembar lelaki dan perempuan itu hadir ke majlis konvokesyen bersama isterinya, Datin Kee Hui Bin, 50.

Berita Harian X