Selasa, 25 Januari 2022 | 3:37pm
Kamalia menunjukkan keadaan longkang selepas dilanda banjir kilat susulan hujan lebat petang semalam di Taman Sri Muda. NSTP/FAIZ ANUAR
Kamalia menunjukkan keadaan longkang selepas dilanda banjir kilat susulan hujan lebat petang semalam di Taman Sri Muda. NSTP/FAIZ ANUAR

Penduduk Taman Sri Muda trauma setiap kali hujan lebat

SHAH ALAM: Penduduk di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini, masih hidup dalam ketakutan dan trauma setiap kali hujan lebat melanda kawasan itu susulan banjir buruk berlaku pada Disember lalu yang menyebabkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.

Semalam, kawasan itu terutama di Jalan Tokoh 25/28 dilanda banjir kilat sehingga ada penduduk membuat keputusan berpindah akibat bimbang insiden buruk pada penghujung tahun lalu berulang.

Penduduk, Kamalia Emansah, 41, berkata keadaan langit gelap dan bunyi guruh boleh membuatkannya gelisah kerana bimbang hujan lebat, sekali gus berlaku banjir.

"Kerugian akibat banjir sebelum ini pun masih tidak dapat kami anggarkan, justeru limpahan air yang berlaku semalam memang agak mencemaskan kami yang baru saja selesai melakukan kerja pembersihan pasca banjir.

"Namun kami bersyukur, banjir surut dengan cepat dan saya perasan walaupun hujan hanya sekejap, tetapi air di longkang sudah penuh.

"Jadi, kami berharap longkang perlu dibersihkan dengan kerap kerana bukan saja sampah, tetapi ia turut dipenuhi pasir sehingga menyebabkannya cepat penuh walaupun hujan sekejap," katanya.

Tinjauan dilakukan di kawasan dinaiki air semalam mendapati longkang di kawasan itu menjadi cetek berikutan dipenuhi tanah dan pasir.

Semalam, beberapa kawasan di Taman Sri Muda, Seksyen 25 dekat sini sekali lagi dinaiki air susulan hujan lebat yang pada kira-kira jam 3 petang.

Bagaimanapun, difahamkan limpahan air berlaku berikutan longkang tersumbat sehingga menyebabkan air hujan tidak dapat mengalir dengan lancar.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, ketika tinjauan dilakukan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam mendapati limpahan air berlaku berdekatan kolam kumbahan berhampiran sebuah pangsapuri.

Pada Disember tahun lalu, kawasan Taman Sri Muda antara yang terkesan teruk akibat banjir yang menyebabkan ribuan penduduk terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Banjir yang tidak dijangka itu dikatakan berpunca daripada hujan lebat luar biasa.

Sementara itu, Sokappan Ramasamy, 71, berkata hujan lebat semalam menyebabkan dia sekeluarga bimbang rumahnya ditenggelami air sehingga dua meter seperti sebelum ini.

"Ketika hujan lebat, perasaan saya terus bimbang sebab air di longkang sudah penuh dan melimpah ke jalan.

"Saya dan isteri sudah bersedia membawa barang keperluan seperti makanan, ubat dan lain-lain ke tingkat atas rumah kerana khuatir air naik tinggi seperti sebelum ini.

"Bagaimanapun, kami bernasib baik sebab hujan tidak lama dan air hanya naik sehingga paras buku lali di kawasan letak kereta serta tidak memasuki rumah," katanya.

Beliau yang sudah 20 tahun menetap di situ berkata, banjir berkenaan surut sekitar jam 7 malam.

Berita Harian X