Selasa, 25 Januari 2022 | 3:13pm
Remaja Orang Asli menerima suntikan COVID-19 di Muadzam Shah. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat
Remaja Orang Asli menerima suntikan COVID-19 di Muadzam Shah. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat

46,024 Orang Asli di Pahang lengkap dua dos vaksin

KUANTAN: Seramai 46,024 masyarakat Orang Asli di 11 daerah di negeri ini telah selesai menerima dua dos vaksin COVID-19 secara berperingkat sejak awal tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang, Johari Alwi, berkata seramai 86,532 golongan remaja serta dewasa termasuk warga emas Orang Asli layak menerima suntikan dan daripada jumlah itu seramai 3,989 orang tidak berminat menerima vaksin manakala selebihnya, hanya menerima satu dos sahaja.

Beliau berkata, seramai 1,816 orang sudah menerima dos ketiga atau penggalak, mereka tampil secara sukarela apabila diadakan pemberian dos penggalak oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

"Kita tidak pernah jemu dan berputus asa untuk terus memujuk masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman untuk menerima vaksin COVID-19 yang disediakan kerajaan secara berterusan di pusat kesihatan terpilih.

"Program masuk kampung pedalaman tetap terus dilakukan oleh pegawai KKM dan JAKO untuk memberi vaksin COVID-19, minggu lalu program berkenaan diadakan di Pos Lenjang, Lipis," katanya, di sini, hari ini.

Johari berkata, tumpuan pemberian dos penggalak turut membabitkan petugas di barisan hadapan terdiri daripada golongan muda Orang Asli yang terbabit membantu jabatan itu untuk melaksanakan pelbagai program membabitkan Orang Asli.

Beliau berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), JAKOA Pahang Volunteer Team (JPVT) dalam usaha memujuk masyarakat Orang Asli untuk menerima vaksin COVID-19 termasuk dos penggalak.

Menurutnya, daerah Pekan mencatat jumlah penerima vaksin paling tinggi iaitu 8,279 orang, diikuti Lipis seramai 7,555 orang, Muadzam Shah (4,913) dan Rompin (4,659).

"Pengaruh berita yang tidak benar melalui media sosial kini menjadi cabaran buat JAKOA untuk memujuk Orang Asli bagi menerima vaksin COVID-19 terutama membabitkan dos penggalak.

"Kita akan melakukan pelbagai kaedah untuk memujuk masyarakat Orang Asli terutama di kawasan pedalaman untuk menerima vaksin COVID-19 secara sukarela manakala Program Outreach Vaksinasi (POV) COVID-19 yang dilancarkan 16 Jun tahun lalu tetap diteruskan," katanya.

Berita Harian X