Selasa, 25 Januari 2022 | 3:02pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

Peruntukan cuti bersalin untuk semua kakitangan wanita tanpa kira gaji

KUALA LUMPUR: Peruntukan cuti bersalin masih terpakai kepada semua kakitangan wanita yang melahirkan anak tanpa mengehadkannya pada kadar pendapatan tertentu.

Perkara ini disahkan selepas Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) mendapatkan penjelasan daripada Kementerian Sumber Manusia (KSM) berhubung Pindaan Akta Kerja 1955 yang kemudian memaklumkan kelayakan cuti bersalin dan elaun masih terpakai kepada semua pekerja tanpa mengira gaji.

Pegawai Kanan Advokasi WAO, Rusni Tajari dan Pegawai Advokasi, Kiran Kaur dalam kenyataan bersama, berkata KSM melalui e-mel kepada pihaknya mengesahkan perintah menteri (menurut Subseksyen 2 (2) Akta Kerja) akan dibuat bagi meminda Jadual Pertama Akta Kerja bagi membolehkan semua peruntukan dalam akta itu digunakan secara am kepada pekerja, melainkan dikecualikan secara khusus.

Katanya, Subseksyen 2.2 itu memberi kuasa kepada menteri untuk meminda Jadual Pertama Akta Kerja bagi membolehkan semua peruntukan dalam akta itu digunakan secara am kepada pekerja, melainkan dikecualikan secara khusus.

"Jadual Pertama Akta Kerja untuk menentukan siapa pekerja yang layak mendapat manfaat cuti bersalin itu yang mana ketika ini hanya diberikan kepada mereka berpendapatan kurang RM2,000, tetapi kini diperluaskan kepada semua pekerja wanita.

"Perkara ini disahkan melalui e-mel daripada KSM kepada WAO dan dalam pertemuan bersama Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan pada November lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, katanya, wanita hamil layak memperoleh cuti bersalin dan elaun tanpa mengira tahap pendapatan lebih atau kurang daripada RM2,000.

"Jika anda pekerja yang sedang mengandung, sama ada berpendapatan lebih RM2,000 atau ke bawah, anda masih layak mendapat cuti bersalin dan elaun," katanya.

WAO berkata, penjelasan itu diberikan berikutan timbul kebimbangan susulan pemansuhan Seksyen 44A hingga ada yang khuatir cuti bersalin dan elaun hanya diberikan kepada pekerja berpendapatan kurang daripada RM2,000.

Ini berikutan, pada sidang Parlimen 2021 yang lalu, melalui pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) bagi pindaan Akta Kerja 1955, beberapa perubahan penting diperkenalkan seperti memanjangkan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari, melarang penamatan atas dasar kehamilan dan memperkenalkan tiga hari cuti paterniti.

"RUU terbabit turut memansuhkan Seksyen 44A dalam Akta Kerja. Pada masa ini, Seksyen 44A melanjutkan kelayakan cuti bersalin dan elaun kepada pekerja yang bersalin tanpa mengira tahap gaji sama ada lebih RM2,000 atau ke bawah.

"Penyata Penjelasan RUU menyatakan hasrat kerajaan meluaskan penggunaan akta terbabit kepada semua pekerja tanpa mengira gaji, namun ini tidak dijelaskan di mana pindaan itu akan dilakukan," katanya.

Berita Harian X