Selasa, 25 Januari 2022 | 2:01pm
Siti Zailah (dua dari kanan) menerima memorandum daripada Gabungan Persatuan OKU di lobi KPWK, hari ini. - Foto NSTP/Samadi Ahmad
Siti Zailah (dua dari kanan) menerima memorandum daripada Gabungan Persatuan OKU di lobi KPWK, hari ini. - Foto NSTP/Samadi Ahmad

JKMPay bukan program paksaan

PUTRAJAYA: Pelaksanaan Projek Rintis Pembayaran Bantuan Bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Secara Tanpa Tunai (Cashless) atau JKMPay adalah program rintis dan tidak membabitkan semua penerima bantuan JKM.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata program itu bersifat pilihan dan diadakan secara rintis selama enam bulan bermula Februari tahun lalu.

Katanya, terdapat kekeliruan dalam kalangan penerima bantuan JKM mengatakan, program JKMPay itu membabitkan semua penerima termasuk golongan orang kurang upaya (OKU).

"Pelaksanaan program ini bukanlah secara paksaan, namun kita adakan temuduga terlebih dahulu. Dakwaan mengatakan ia membabitkan semua penerima OKU adalah salah faham dan ia hanya membabitkan penerima baharu sahaja," katanya kepada media selepas menerima memorandum bantahan JKMPay daripada Gabungan Persatuan OKU di perkarangan lobi Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga (KPWK) di sini, hari ini.

Sebelum itu, kira-kira 50 ahli mewakili Gabungan Persatuan OKU dari seluruh negara berkumpul di lobi KPWK untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

Program JKMPay yang bermula Februari tahun lalu secara rintis membabitkan 2,000 penerima daripada 550,000 penerima bantuan JKM.

Program yang berlangsung selama enam bulan itu membabitkan beberapa negeri iaitu Perlis, Kedah, Melaka, Selangor, Kelantan dan Terengganu.

Melalui JKMPay, penerima bantuan akan menerima 50 peratus daripada jumlah kadar bantuan yang diluluskan dan dikreditkan ke dalam akaun Bank Islam penerima bantuan berkenaan dan ia boleh dikeluarkan dengan kad juruwang automatik (ATM)/Debit Bank Islam.

Siti Zailah berkata, KPWK akan melihat isu berbangkit melalui memorandum yang diserahkan untuk dibincang dan diteliti di peringkat kementerian.

Katanya, kementerian akan memberi perhatian sebaik mungkin mengenai isu berbangkit berkenaan.

Sementara itu, jurucakap persatuan OKU, Francis Siva, berkata pihaknya mahu program JKMPay itu dimansuhkan kerana membabitkan pemotongan 50 peratus bantuan sehingga membebankan OKU.

Katanya, pelaksanaan JKMPay itu menindas golongan OKU kerana menyekat kebebasan mereka untuk berbelanja melalui wang bantuan yang diterima.

Berita Harian X