Selasa, 25 Januari 2022 | 1:45pm
Ismail Sabri menyampaikan amanat kepada warga JPM, hari ini. - FOTO BERNAMA
Ismail Sabri menyampaikan amanat kepada warga JPM, hari ini. - FOTO BERNAMA

Kerajaan pertimbang longgarkan lagi SOP apabila vaksinasi selesai

PUTRAJAYA: Kerajaan mempertimbangkan untuk melonggarkan lagi prosedur operasi standard (SOP) sekiranya proses vaksinasi COVID-19 di negara ini selesai, termasuk pemberian dos penggalak, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, perkara itu bagaimanapun tertakluk kepada keputusan dan pandangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

"Kita melihat kalau dua dos vaksin COVID-19 dan booster (penggalak) selesai, saya percaya kita boleh memberikan sedikit lagi kelonggaran.

"Ini terpulang kepada KKM untuk memberikan pandangan," katanya ketika menyampaikan amanat kepada warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini, hari ini.

Ismail Sabri menjelaskan sekiranya SOP terlalu ketat, ia boleh memberi kesan terhadap industri pelancongan negara.

Walaupun pelancongan domestik sudah dibuka, katanya, pelancong antarabangsa belum dibenarkan masuk ke negara ini, manakala subsidi upah yang diperkenalkan masih diberi kepada pemain industri pelancongan.

Beliau berkata, sesetengah negara telah melonggarkan SOP untuk pelancong ke negara mereka, dan perkara itu mungkin boleh dipertimbangkan.

"Sebab itulah kita ingat kalau rakyat telah diberikan booster, kita boleh relaks sikit dari segi SOP," katanya.

Ismail Sabri memaklumkan ketika ini, kerajaan masih lagi berhati-hati dalam membuka sempadan negara berikutan kebimbangan jangkitan COVID-19.

Walaupun Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) Malaysia serta Singapura dilaksanakan dan perbincangan VTL dengan Indonesia serta Thailand sudah dimulakan, beliau menjelaskan berikutan kes COVID-19 semakin meningkat di luar negara, Malaysia masih menggantung pergerakan ke luar negara.

Ismail Sabri berkata, pembukaan industri pelancongan antarabangsa akan dapat memulihkan ekonomi dan seterusnya menjadikan keadaan negara bertambah baik.

Sementara itu, Perdana Menteri mengulangi bahawa kerajaan tidak bercadang melaksanakan lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menyekat pergerakan rakyat dan sektor perniagaan.

"Ada khabar angin yang apabila raya nanti, tidak boleh balik kampung dan perniagaan ditutup. Saya telah mengumumkan raya boleh balik kampung, dan sambutannya begitu tinggi," katanya.

Ahad lalu ketika di Bera, Pahang, Ismail Sabri memberi jaminan bawa kerajaan tidak akan melaksanakan kembali PKP dan sekatan pulang ke kampung bagi sambutan Aidilfitri tahun ini.

Beliau berkata, jika kes meningkat di sesuatu kawasan, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar akan dilakukan di kawasan terbabit sahaja. – BERNAMA

Berita Harian X