Selasa, 25 Januari 2022 | 7:59am
Kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) melakukan kerja menanam pokok balak. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat
Kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) melakukan kerja menanam pokok balak. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat

Banjir musnahkan lebih 200,000 benih balak

KUANTAN: Usaha menghijaukan kawasan hutan dengan aktiviti menanam semula pokok terjejas selepas lebih 200,000 benih pelbagai spesies pokok balak musnah dalam kejadian banjir akhir tahun lalu.

Benih pokok balak yang disemai di Pusat Perolehan Biji Benih dan Bahan Tanaman (PPBBBT), Lentang Bentong berusia antara sebulan hingga tiga tahun musnah dibawa arus kepala air.

Timbalan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Datuk Samsu Anuar Nawi, berkata PPBBBT Lentang menjadi pembekal utama pelbagai benih pokok balak untuk program menanam semula kawasan ceroboh dan bekas lesen pembalakan.

Menurutnya, untuk menampung kekurangan benih yang berlaku, lima tapak semaian di Pejabat Hutan Daerah (PHD) dan Bahagian Pembangunan terletak di Raub, Temerloh, Rompin, Jerantut dan Bukit Sekilau, di sini akan membantu.

Katanya, lima tapak semaian berkenaan telah diarahkan untuk menambah pengeluaran benih pokok balak dua hingga tiga kali ganda dalam menampung kekurangan yang berlaku.

"Usaha menanam semula terutama di kawasan bekas kerja pembalakan atau bekas lesen termasuk lorong penarik terjejas berikutan kekurangan benih pokok balak yang berkualiti.

"Kita akan melakukan pelbagai usaha lain bagi menampung kekurangan benih balak yang berlaku tahun ini," katanya semalam.

Dalam kejadian banjir dan kepala air yang berlaku pada 18 Disember lalu, PPBBBT Lentang kerugian lebih RM4 juta berikutan kemusnahan lebih 200,000 benih pokok balak termasuk kerosakan kemudahan tapak semaian yang terdapat di situ.

Samsu berkata, tahun lalu JPNP menanam sebanyak 3.3 juta pokok balak seluruh negeri ini, ia membabitkan aktiviti menanam di hutan bekas lesen dan kawasan ceroboh termasuk pesisir pantai dengan tanaman beberapa spesies seperti ru, bintangor laut dan ketapang.

Beliau berkata, walaupun kekurangan benih pokok balak namun usaha menghijau semula hutan di negeri tetap akan terus dilakukan menerusi sokongan pelbagai pihak termasuk masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) penuntut institusi pendidikan tinggi (IPT) dan agensi kerajaan.

"Saya berharap PPBBBT Lentang dapat bangkit dalam jangka masa yang singkat dalam usaha meneruskan aktiviti menghasilkan benih pokok balak termasuk pokok hiasan dan buah-buahan seperti tampoi, durian, manggis dan jambu yang disediakan di bawah program hutan komuniti," katanya.

Berita Harian X