Selasa, 25 Januari 2022 | 7:16am
Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.
Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.

Jangkitan COVID-19 di Sabah kembali stabil

KOTA KINABALU: Situasi jangkitan COVID-19 di Sabah kembali stabil dengan hanya 118 kes baharu direkodkan semalam berbanding 172 kes kelmarin.

Jumlah itu juga adalah antara yang terendah di Sabah dalam tempoh lapan bulan sejak pertengahan Mei tahun lalu.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata penurunan 54 kes berbanding jumlah semalam itu menunjukkan aliran penstabilan yang baik.

Katanya, kes tertinggi mengikut daerah juga dicatatkan di bawah 20 kes dengan jumlah tertinggi di Kota Kinabalu iaitu hanya 17 kes.

"Hanya lima daerah mencatat kes baharu dua angka yang didahului Kota Kinabalu dengan 17 kes, diikuti Papar (15 kes), Tuaran (15 kes), Penampang (13 kes) dan Sandakan (12 kes).

"Daerah Ranau yang mencatat jumlah kedua tertinggi semalam (kelmarin) dengan 21 kes hanya merekodkan dua kes baharu pada hari ini (semalam).

"Begitu juga di daerah Beaufort, hanya mencatat lapan kes, manakala sebanyak enam daerah tidak mencatat sebarang kes baharu," katanya dalam kenyataan media malam tadi.

Enam daerah yang tidak mencatat sebarang kes baharu COVID-19 semalam ialah Semporna, Beluran, Nabawan, Pitas, Tongod dan Kalabakan.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata turun naik jumlah kes harian di Sabah banyak dipengaruhi kemunculan kluster baharu.

Sepanjang minggu lalu Sabah merekodkan lima kluster berkaitan jangkitan membabitkan institusi pendidikan menyebabkan kes harian melonjak lebih 200 sebelum turun semula bermula kelmarin.

Sementara itu, dua kes kematian akibat jangkitan COVID-19 direkodkan di Sabah semalam, kedua-duanya di Kota Kinabalu, manakala seramai 192 pesakit dilaporkan sembuh, diikuti 674 masih menjalani rawatan.

Berita Harian X