X
Isnin, 24 Januari 2022 | 10:16am
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memilih untuk membela diri secara bersumpah dengan memberi keterangan dari tempat saksi. NSTP/AIZUDDIN SAAD
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memilih untuk membela diri secara bersumpah dengan memberi keterangan dari tempat saksi. NSTP/AIZUDDIN SAAD

'Zahid Hamidi akan bela diri secara bersumpah, dari tempat saksi'

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, memilih untuk membela diri melalui keterangan bersumpah daripada kandang saksi terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang dihadapinya.

Perkara itu dimaklumkan peguam belanya, Hisyam Teh Poh Teik, selepas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah, memutuskan bahawa pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran, berjaya menimbulkan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid yang juga pengasas yayasan berkenaan.

Ahmad Zahid akan mula membela diri sebagai saksi pertama pada 26 April ini.

Turut menemani Ahmad Zahid pada prosiding hari ini ialah isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis dan anaknya, Datuk Nurulhidayah.

Presiden UMNO itu mengaku tidak bersalah terhadap 12 tuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta dana Yayasan Akalbudi.

Sequerah membuat keputusan di akhir kes pendakwaan pada prosiding hari ini di mana kes berprofil tinggi itu memakan masa selama hampir tiga tahun dengan mendengar keterangan seramai 99 saksi pendakwaan.

Dalam penghakimannya hakim berkata, mahkamah membuat keputusan itu selepas membuat penilaian maksimum terhadap bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

"Saya dengan ini memanggil tertuduh untuk membela diri terhadap semua tuduhan," katanya.

Terdahulu, Sequerah berkata hujahan pihak pembelaan bahawa Ahmad Zahid perlu diberi imuniti daripada didakwa mengikut Seksyen 307 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana mendedahkan semua maklumat mengenai transaksi berkaitan Yayasan Akalbudi (YAB) yang dikendalikan keluarganya, tidak mempunyai merit.

Perkara berkenaan imuniti itu dibangkitkan oleh Hisyam ketika mengemukakan hujahan di akhir kes pendakwaan pada 6 September tahun lalu.

Menurut Hisyam, anak guamnya pada 2 Julai dan 3 Julai 2018, membuat dua pernyataan mengikut Seksyen 30 (3) (b) Akta SPRM, oleh itu beliau dilindungi dengan imuniti daripada pendakwaan.

Sementara itu Hisyam berkata, pihaknya menerima semua 37 saksi yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan, bagaimanapun hanya akan menggunakan kira-kira 20 lebih saksi berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya memerlukan masa untuk menemubual saksi dan menyediakan dokumen pembelaan.

Mahkamah kemudian menetapkan pada 26 hingga 28 April, 23 hingga 26 Mei, 27 hingga 30 Jun, 4 hingga 7 Julai, 22 dan 23 serta 29 dan 30 Ogos ini.

Ahmad Zahid didakwa dengan 12 pertuduhan pecah amanah, iaitu menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi lapan tuduhan rasuah pula, beliau didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Ia bagi melaksanakan penambahan pembekalan cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polycarbonate Pasport Malaysia untuk Jabatan Imigresen Malaysia, sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal di bawah kendalian Kementerian Dalam Negeri.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Berita berkaitan:

  • Kronologi pendakwaan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
  • Kes Zahid tak jejas peluang UMNO dalam PRN Johor
  • 'Selepas diperintah bela diri, peguam bela Zahid Hamidi yakin menang'
  • Zahid akur keputusan mahkamah
  • Penyokong Zahid di mahkamah kekal tenang
  • 'Zahid Hamidi akan bela diri secara bersumpah, dari tempat saksi'
  • 'Zahid Hamidi diarah bela diri 47 tuduhan rasuah dan jenayah'
  • Hakim Sequerah tentukan nasib Ahmad Zahid pagi ini
  • Berita Harian X