Ahad, 23 Januari 2022 | 10:11pm
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid. - Foto BERNAMA
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid. - Foto BERNAMA

Kenyataan saya disalah tafsir - Rosol

KUALA LUMPUR: Tiada istilah kerajaan memberi kebenaran kepada peniaga untuk menaikkan harga makanan dijual seperti dilaporkan sebelum ini.

Sebaliknya, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, memberi penekanan mengenai penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam isu kenaikan harga barangan dan makanan.

Katanya, peniaga tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan sekiranya perubahan harga yang dibuat menunjukkan kenaikan yang terlalu tinggi, mendadak dan mengambil untung secara tidak munasabah atau berlebihan.

"Maksud sebenar berhubung kenyataan 'peniaga boleh naikkan harga asalkan tidak mencatut' adalah menerangkan maksud Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

"Ia menjelaskan peniaga boleh menentukan sendiri harga jual makanan kepada pengguna, termasuklah dalam membuat sebarang perubahan harga jual, tetapi tetap tertakluk kepada peraturan-peraturan di bawah AKHAP2011, termasuk tidak mencatut," katanya dalam kenyataan yang disiarkan di Facebook malam ini.

Katanya, beliau mengambil maklum laporan media mengenai kenyataannya yang dibuat di Kuching, Sarawak pada Jumaat lalu berhubung isu perubahan dan ketidakstabilan harga barangan keperluan makanan ketika ini yang turut memberi kesan kepada perniagaan makanan bermasak.

Bagaimanapun, Rosol menjelaskan, terdapat sesetengah kenyataan yang dilaporkan termasuk laporan susulan yang dibuat adalah kurang tepat dan menimbulkan kekeliruan awam.

"Sebagai negara yang mengamalkan sistem ekonomi terbuka, harga barangan ditentukan oleh faktor permintaan dan penawaran.

"Begitu juga dalam isu harga makanan, iaitu peniaga boleh menentukan sendiri harga jual makanan kepada pengguna, termasuk membuat sebarang perubahan harga jual.

"Namun begitu, adalah diingatkan dan ditegaskan peniaga tertakluk dengan peruntukan AKHAP2011 yang mana peniaga tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan sekiranya perubahan harga yang dibuat tidak munasabah atau berlebihan," katanya.

Beliau berkata, peniaga diingatkan tidak sesekali melakukan perubahan harga yang tidak seiring dengan kenaikan kos yang ditanggung dan perlu munasabah dalam membuat sebarang perubahan harga jual supaya tidak membebankan pengguna.

"Sekiranya kementerian menerima aduan berhubung harga, peniaga yang diadu akan disiasat dan boleh dikenakan tindakan di bawah AKHAP 2011," katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengguna yang berdepan salah laku peniaga termasuk yang cuba mengambil keuntungan berlebihan dan mencatut diminta mengemukakan aduan kepada saluran rasmi KPDNHEP bagi membolehkan siasatan dilakukan dan tindakan lanjut diambil.

"Gunakan kuasa pengguna anda sebaiknya," katanya.

Berita Harian X