Ahad, 23 Januari 2022 | 5:59pm
Foto hiasan
Foto hiasan

'Tinggalkan profesion guru jika mahu aktif berpolitik'

KUALA LUMPUR: Guru yang berhasrat untuk aktif berpolitik sebaiknya meninggalkan profesion perguruan daripada membawa perkara yang tidak baik seterusnya memburukkan lagi sistem pendidikan negara yang dilihat rapuh ketika ini.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Rahim, berkata ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak, termasuk warga pendidik berdedikasi, tulen dan ikhlas serta menggalas tanggungjawab menyampaikan ilmu kepada generasi masa depan.

"Kita tidak mahu ahli politik yang menganggap anak-anak sebagai batu loncatan. Apabila ibu bapa menghantar anak ke sekolah, mereka mengharapkan pemimpin dan guru dapat memberikan perhatian yang tidak berbelah bahagi kepada pelajar.

"Kita juga sering mendengar keluhan guru yang terbeban dengan tugasan hakiki, selain tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyediakan rancangan pengajaran, menghadiri kelas, mengajar, menilai, menjalankan aktiviti, hadir di kursus dan mesyuarat serta menyelesaikan tugas pentadbiran mereka.

"Apatah lagi apabila bergiat aktif dalam bidang politik," katanya kepada BH hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan memberi kebenaran kepada semua guru sekolah dan petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di seluruh negara untuk berpolitik berkuat kuasa serta-merta.

Ia sebagai menghormati prinsip demokrasi memandangkan sebelum ini golongan itu dilarang untuk berpolitik.

Susulan itu, Kementerian Pendidikan (KPM) diminta untuk segera mengeluarkan pekeliling mengenai kebenaran berkenaan sekiranya masih belum ada.

Noor Azimah berkata, pelajar hampir tidak mendapat pendidikan yang baik sejak dua tahun lalu.

Katanya, terdapat jurang pembelajaran yang tidak memuaskan dan perkara itu perlu diperbaiki supaya pelajar mencapai standard dan tanda aras yang ditetapkan.

"Namun, kerajaan kini membenarkan politik masuk ke sekolah di saat sistem pendidikan negara dalam situasi genting.

"Sepatutnya perlu difikirkan langkah untuk memantapkan sistem pendidikan di saat negara berdepan pandemik COVID-19 sehingga Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) dijalankan dan kini sesi persekolahan secara bersemuka baru bermula.

"Ini adalah masa terbaik untuk kita memulihkan kembali semangat pelajar dengan komitmen guru yang sentiasa memberikan khidmat terbaik untuk melahirkan generasi muda yang kompeten dan berkualiti, bukannya ketinggalan masa," katanya.

Berita Harian X